LONDON: Chelsea semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan pemain tengah Brighton, Moises Caicedo yang bernilai 115 juta pound (RM669.61 juta) selepas pemain berumur 21 tahun itu menolak untuk menyertai Liverpool.
Perjanjian itu bakal menyaksikan Chelsea sekali lagi memecahkan rekod perpindahan British dan Caicedo diharap dapat membentuk gandingan mantap dengan pemain Southampton, Romeo Lavia yang juga dalam proses perpindahan ke Stamford Bridge.
Caicedo menyertai Brighton dari kelab Independiente del Valle pada dua tahun lalu dan dia menampilkan aksi cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sehingga menarik minat banyak pasukan lain.
Di bawah kendalian Roberto De Zerbi, Brighton berjaya meletakkan diri sebagai salah satu pencabar utama liga tertinggi Inggeris itu dengan menamatkan saingan di tangga keenam musim lalu.
Chelsea terdesak mengukuhkan barisan tengahnya selepas kehilangan Ruben Loftus Cheek, Mateo Kovacic, Mason Mount dan N’Golo Kante pada musim panas ini.
Liverpool pula perlu mengisi kekosongan ditinggalkan James Milner, Fabinho, Naby Keita dan Jordan Henderson. Mereka hanya menandatangani Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai pada jendela perpindahan kali ini.
Chelsea juga mensasarkan pemain Paris Saint Germain (PSG), Marco Veratti sekiranya usaha mendapatkan Caicedo menemui jalan buntu pada jendela perpindahan musim panas ini. – AGENSI