PETALING JAYA: Biarpun berdepan cabaran getir di peringkat kumpulan apabila diundi bersama Korea Selatan dan Taiwan, skuad ragbi tujuh sebelah (7s) negara yakin akan ke suku akhir pada Sukan Asia Hangzhou, bulan depan.
Ketua Jurulatih Bunga Raya 7s, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, sasaran utamanya dalam Kumpulan B adalah mengalahkan Taiwan, dan menutup saingan selaku dua pasukan terbaik.
Katanya, Malaysia memiliki kelebihan pengalaman, namun kebimbangan utamanya adalah tahap kecergasan dan kecederaan pemain kerana menjalani latihan dalam tempoh terlalu singkat.
“Keadaan kita agak berat bila berdepan Korea tetapi saya terima undian secara positif sebab berlawan dengan Taiwan nampak ada peluang menang.
“Harapan ke suku akhir juga cerah untuk bertemu lawn dari Kumpulan D (Arab Saudi, China dan Afghanistan).
“Cuma yang merisaukan saya sekarang keadaan pemain. Kami berlatih dalam tempoh singkat jadi kemungkinan pemain menghadapi kecederaan sangat besar dan saya perlu perhati satu per satu untuk memilih barisan terbaik.
“Sejak ambil alih tugasan ini bulan lalu, saya tidak lagi beri tumpuan kepada latihan asas sebaliknya di bahagian pertahanan, perlawanan persahabatan dengan Singapura dan skuad bawah 20 tahun. Itu tanda aras yang saya letak,” katanya kepada Utusan Malaysia.