PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan tuduhan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman bahawa badan induk itu menjadi punca kenapa empat pemain import baharu The Red Warriors (TRW) tidak dapat didaftarkan.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, berdasarkan fakta dan kronologi kes membabitkan proses pendaftaran pemain untuk Liga Malaysia (Liga M), pihak Norizam sendiri sudah melewati tempoh masa pendaftaran yang ditetapkan.
Beliau berkata, FAM sudah mencuba sehabis baik untuk membantu Kelantan FC terutama dalam proses permohonan dan rayuan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) agar proses pendaftaran dapat dilakukan.
Noor Azman berkata, pada 29 Julai lalu, pegawai Kelantan FC menghubungi pegawai Transfer Matching System (TMS) FAM untuk membantu mereka mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain, Allez Putra Azril yang bermain di Akademi Malaga FC.
“Setiap permohonan ITC pemain adalah dibuat melalui sistem TMS yang dikawal selia oleh FIFA. Oleh kerana Kelantan FC masih lagi tidak melantik pegawai TMS yang baharu, maka Kelantan FC telah memohon pertolongan bekas pegawai Kelantan FC yang masih memegang akaun TMS mereka untuk permohonan ITC pemain ini.
“Pada hari itu, tiada masalah log masuk oleh Kelantan FC ke dalam sistem TMS dan tiada permohonan oleh Kelantan FC di dalam sistem TMS untuk mendaftarkan pemain asing yang lain.
“Pada 31 Julai, pegawai TMS FAM membantu Kelantan FC menyelesaikan isu pendaftaran pemain, Allez Putra Azril dengan menghubungi Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) untuk mendapatkan pelepasan ITC pemain dan akhirnya pelepasan berjaya diperoleh.
“Seterusnya, Kelantan FC mula memaklumkan bahawa akaun TMS Kelantan FC yang dipegang oleh bekas pegawai mereka tidak dapat diakses pada hari terbabit kerana mengalami masalah log masuk,” katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menyalahkan FAM selepas TRW dibelasah Johor Darul Ta’zim 10-0 pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia, sekali gus tersingkir dengan agregat 15-1.
Pemilik Kelantan FC itu menyifatkan skuad kendalian Alfredo Vera tidak akan mengalami kekalahan seteruk itu sekiranya empat pemain import baharu mereka dapat didaftarkan.
Malah, beliau turut meluahkan kekecewaan dengan sesetengah pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang didakwanya ada sikap pilih kasih.
Mengulas lanjut, Noor Azman menjelaskan pegawai TMS FAM mendapati masih tiada permohonan ITC yang didapati dalam sistem TMS bagi Kelantan FC untuk permohonan ITC pemain yang baharu pada 1 Ogos iaitu hari terakhir jendela perpindahan kedua pemain.
Beliau berkata, Kelantan FC hanya memohon kepada FIFA melalui e-mel untuk penukaran dan pelantikan akaun TMS yang baharu pada jam 11.15 malam, iaitu 45 minit sebelum tempoh perpindahan ditutup.
Katanya, pada tarikh itu juga, terdapat beberapa pasukan lain yang memohon ITC dan sijil perpindahan domestik DTC pemain di saat akhir dan semuanya berjaya disempurnakan oleh Pegawai TMS FAM tanpa sebarang masalah log masuk atau masalah teknikal lain.
“Pada 4 Ogos, FAM menghantar surat permohonan rasmi kepada FIFA untuk melanjutkan tempoh pendaftaran kedua pemain dan pada 5 Ogos FIFA memaklumkan permohonan itu ditolak disebabkan tempoh berkenaan hanya boleh diubah sebelum tempoh pendaftaran pemain bermula,” katanya.
Selain itu, Noor Azman menjelaskan FAM pada 15 Ogos sekali lagi menghantar surat rayuan kedua kepada FIFA dengan memperincikan masalah yang dialami oleh Kelantan FC untuk mendaftarkan pemain dan permohonan lanjutan pendaftaran pemain ini adalah khusus untuk pasukan Kelantan sahaja.
“Pada 16 Ogos, FAM menerima jawapan daripada FIFA yang menerangkan FIFA mengambil maklum masalah yang dihadapi oleh Kelantan FC untuk mendaftarkan pemain di saat akhir. Walau bagaimanapun, rayuan itu ditolak dengan mengambil kira tempoh berkenaan hanya boleh diubah sebelum tempoh pendaftaran pemain bermula.
“Prinsip undang-undang mengenai pendaftaran pemain ini adalah bersifat seragam, universal dan diguna pakai untuk sistem perpindahan antarabangsa dalam bola sepak. Surat jawapan itu sudah dihantar oleh FAM kepada Kelantan FC untuk pemakluman,” katanya.-UTUSAN ONLINE