PETALING JAYA: Pasukan PDRM FC hari ini mengumumkan pemain import mereka, Bruno Suzuki telah memeluk agama Islam.
Bruno yang merupakan penyerang kacukan Jepun-Brazil telah mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Pulapol Kuala Lumpur pada awal pagi tadi bersamaan 15 Muharam 1445.
“Saudara baharu Islam, Bruno Suzuki…Alhamdulillah dengan syukur ke hadarat Allah S.W.T ingin mengumumkan bahawa pemain PDRM FC, Bruno Suzuki telah memeluk agama Islam.
“Beliau telah mengucapkan dua kalimah syahadah bertempat di Masjid Pulapol KL pada awal pagi tadi bersamaan 15 Muharam 1445,” kata PDRM FC dalam hantaran di laman Facebooknya.
Bruno mengucap di hadapan Ustaz Arif M. Rajoli dan disaksikan oleh Komandan Pulapol KL, Senior Asisten Komisioner (SAC) Noor Hisam Nordin, Timbalan Komandan (Kepolisan AM) Pulapol KL, Supt. Razali Mohamed Shahid, barisan pengurusan, jurulatih dan pemain PDRM FC. – UTUSAN ONLINE