PETALING JAYA: Durian runtuh yang besar menanti kesemua ahli skuad hoki negara yang berjaya mengharumkan nama Malaysia setelah bergelar naib juara Trofi Juara-Juara Asia 2023 yang melabuhkan tirainya semalam di Chennai, India.
Perkara itu diumumkan oleh presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal sebagai tanda menghargai kesungguhan para pemain negara yang berjuang di kejohanan itu sehingga Malaysia mara ke perlawanan final buat julung kalinya, di samping berjaya memperbaiki kedudukan ranking dunia dengan kini menjadi pasukan No. 9 Dunia.
Biarpun tewas kepada tuan rumah, India dengan keputusan 4-3, Subahan tetap berbangga dengan pencapaian dan prestasi keseluruhan skuad negara yang hampir lagi mengaibkan tuan rumah di pentas final.
“Saya gembira kerana mereka muncul naib juara dan ia adalah satu hikmah buat pasukan. Bukan tak nak menang tapi jika menang di ACT ini itu hanyalah gelaran dan dapat mata tapi tak layak ke Olimpik.
“Yang penting sekarang adalah menang di Sukan Asia. Ini adalah hikmah dan saya percaya mereka (pemain) sudah bersedia untuk ke China dan mereka pasti ingin berjumpa sekali lagi dengan India.
“Jadi atas usaha dan semangat mereka, para pemain akan menerima bonus yang lebih besar daripada apa mereka pernah terima sebelum ini,” jelas Subahan ketika ditemui pemberita ketika menyambut kepulangan skuad Speedy Tigers di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Di Sukan Asia Hangzhou, Malaysia diundi bersama-sama Korea Selatan, Oman, Thailand, Indonesia serta tuan rumah China.
Lima tahun lalu di Jakarta, Malaysia berputih mata untuk ke Sukan Olimpik setelah tewas keapda Jepun di pentas final menerusi penentuan penalti shoot out.