KUALA LUMPUR: Kali terakhir Rachel Arnold merangkul gelaran kebangsaan ialah pada 2019 dan peluangnya untuk mengulangi pencapaian empat tahun lalu itu semakin hampir menjadi kenyataan apabila dia mara ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan WCE SRAM ke-38 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, esok.
Pada pusingan kedua, hari ini, Rachel yang diletakkan selaku pilihan pertama hanya memerlukan masa 15 minit untuk mengetepikan cabaran pemain muda, Doyce Lee 11-4, 11-4, 11-9.
Bagaimanapun, pada peringkat empat terbaik laluan getir menanti Rachel apabila pilihan ke-3/4, Noor Ainaa Amani Ampandi menjadi lawannya.
Rachel ketika ditemu bual Utusan Malaysia selepas perlawanan berkata, sukar untuk dia mencongak kekuatan Ainaa pada ketika ini kerana sudah lama tidak beradu kekuatan dengan rakan seperjuangannya itu dalam sebuah kejuaraan.
“Sudah agak lama saya tidak beraksi menentang Ainaa, mungkin dua tahun lamanya kami tidak pernah bertemu sesama sendiri.
“Ainaa lebih kerap saya jumpa sebagai rakan sepelatih dalam skuad kebangsaan, tetapi, tidak sebagai lawan,” katanya di sini, hari ini.
Justeru, Rachel menjangkakan perlawanan, esok, pasti sukar dan dia perlu fokus serta bersedia dari segi mental bagi berdepan Ainaa.
Pemain kelahiran Kuala Lumpur, Ainaa menempah slot ke peringkat empat terbaik selepas menundukkan Wong Heng Wai dari Kedah 11-4, 11-8, 12-10 dalam masa 26 minit.
Ainaa ketika ditemui turut sependapat dengan Rachel bahawa pertembungan, esok, dijangka berlangsung sengit.
“Apa yang saya boleh janjikan, satu pertarungan sengit, memang benar kami sudah lama tidak menentang sesama sendiri.
“Tetapi, saya pernah menewaskan Rachel ketika dalam latihan, jadi, ia sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada saya untuk cuba memburu gelaran kebangsaan pertama,” ujarnya.
Dalam satu lagi separuh akhir, bakal menemukan dua pemain muda negara, Aira Azman yang diletakkan sebagai pilihan kedua menentang Yee Xin Ying.
Aira yang baru sahaja muncul selaku naib juara Kejohanan Remaja Dunia, minggu lalu, mengalahkan rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan, K. Sehveetrraa
9-11, 11-6, 11-4, 11-6 dalam masa 29 minit.
Pilihan ke-3/4, Xin Ying pula menyekat kemaraan Chan Yiwen 11-5, 6-11, 11-9, 11-9 dalam masa 33 minit. – UTUSAN ONLINE