COPENHAGEN: Impian penyandang juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mempertahankan gelaran mereka di Kejohanan Badminton Dunia 2023 Copenhagen tidak kesampaian selepas tumbang kepada pasangan Korea Selatan, Kang Ming Hyuk-Seo Seung Jae di peringkat separuh akhir hari ini.
Aaron dan Wooi Yik turun sebagai pilihan kejohanan tampak meyakinkan pada awal perlawanan sehingga berjaya menjarakkan mata ke atas pasangan Korea Selatan ini.
Begitupun Min Hyuk-Seung Jae berjaya mengejar dan memastikan set pertama menjadi milik mereka dengan keputusan 21-23.
Set kedua Aaron dan Wooi Yik cuba bangkit, namun Min Hyuk-Seung Jae semakin sukar untuk dikekang sekaligus menoktahkan kemenangan dengan keputusan 13-21 untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir esok menentang pasangan tuan rumah, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Biarpun tewas, Aaron-Wooi Yik tidak pulang dengan tangan kosong apabila masih meraih pingat gangsa, berkongsi kedudukan dengan Liang Wei Keng-Wang Chang dari China di atas kejayaan mara ke separuh akhir.