PETALING JAYA: Strategi menyerang yang direncanakan pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC, Nenad Bacina membuahkan hasil selepas anak-anak buahnya menang bergaya 4-0 ke atas Perak FC kelmarin.
Kemenangan hasil jaringan Tchetche Kipre, Sebastian Avanzini, Paulo Josue dan Sean Gianneli itu juga jelas menggembirakan Bacina dengan tiga mata penuh menjadi habuan pasukan.
“Berdasarkan keputusan ianya sangat baik buat kami. Saya gembira dan bangga dengan persembahan yang ditunjukkan para pemain kerana berjaya mengutip tiga mata penuh. Sukar untuk saya meyakinkan mereka yang mereka boleh bermain bola sepak yang baik.
“Perak juga sedang berada dalam momentum yang baik. Kami tahu mereka akan turun dan bermain habis-habisan tetapi kami berjaya mengawal rentak permainan.
“Menjaringkan empat gol dan mengekalkan ‘clean sheet’ menjadi misi yang mana sangat penting buat kami kerana dua perlawanan sebelum ini kami bolos lima kali,” dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Nenad juga turut gembira dengan kehadiran semula kapten pasukan, Paulo Josue yang berjaya menaikkan semangat para pemain dan membawa pasukan mendapatkan tiga mata meskipun dalam keadaan yang masih belum cukup cergas.
“Josue adalah pemimpin buat KL City sejak sekian lama dan kehadiran semula dia dalam pasukan memberikan tonik tambahan meskipun dia masih belum cergas sepenuhnya namun dia tetap memainkan peranannya dalam perlawanan ini dan membawa pasukan meraih kemenangan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Bacina berharap KL City dapat mengekalkan momentum kemenangan apabila kembali beraksi menentang Sri Pahang dalam saingan Piala Malaysia pada pertengahan September depan.
“Kami akan berehat seketika dengan pemain akan diberikan cuti beberapa hari dan apabila kembali untuk latihan, kami akan kehilangan beberapa pemain yang dipanggil ke tugasan skuad kebangsaan Malaysia dan Filipina.
“Kami berharap dapat membuat persediaan yang baik dan tidak sabar untuk menghadapi Sri Pahang dalam aksi suku akhir Piala Malaysia,” katanya.