PETALING JAYA: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sepakat memilih pelari pecut sensasi, Muhammad Azeem Fahmi untuk beraksi pada Kejohanan Dunia atas tiket wild card (jemputan) di Budapest, Hungary dari 19 hingga 27 Ogos depan.
Keputusan ibuat selepas rayuan KOM kepada Olahraga Dunia untuk memohon dua slot ke saingan itu tidak berjaya, dengan pelari pecut wanita, Shereen Samson Vallabouy menjadi antara salah satu calon yang diusulkan.
Tiket wild card menjadi rebutan selepas tiada seorang pun atlet negara berjaya melayakkan diri secara merit ke kejohanan itu dengan tarikh akhir kelayakan pada 31 Julai lalu.
Biarpun Azeem dan Shereen menampilkan aksi memberangsangkan tahun ini, namun ranking dunia Azeem adalah yang paling baik dalam kalangan atlet olahraga negara.
Azeem berada di tangga ke-90 dunia dengan mengumpul 1,186 mata dalam acara pecut 100 meter (m). Shereen yang beraksi dalam acara 400m wanita pula di ranking ke-116 dunia.
“Bagi Kejohanan Dunia, kita membuat permohonan ke Olahraga Dunia untuk dua orang (Azeem dan Shereen) tetapi mereka beri satu slot sahaja, iaitu Azeem,” jelas Timbalan Presiden KOM, Syamsul Bani Abdullah.
Lebih manis, Azeem turut mendapat sentuhan dua jurulatih di Budapest apabila Amir Izwan Tan Abdullah akan Muhammad mengiringinya sebagai jurulatih tempatan bersama Ken Harnden yang membimbingnya di Universiti Auburn.
“Muhammad Amir akan mengiringinya di Hungary, malah jurulatih sedia ada, Ken Harnden juga akan ke sana.
“Saya mengharapkan dia mampu membuat pencapaian terbaik, sebagai persiapan menuju ke Sukan Asia Hangzhou nanti,” tambah Syamsul.