COPENHAGEN: Harapan pemain No. 1 Dunia, Viktor Axelsen untuk meraih kejuaraan dunianya yang ketiga tidak kesampaian selepas tewas mengejut di peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2023 yang berlangsung di Copenhagen, Denmark hari ini.
Axelsen yang juga penyandang juara edisi lalu di Tokyo tumbang di tangan pemain India, H.S Prannoy dengan keputusan 21-13, 15-21, 16-21 selepas berentap selama 68 minit.
Lebih mengecewakan, kekalahan ini berlaku di hadapan ribuan penonton tuan rumah yang hadir ke Royal Arena.
Ini merupakan kemenangan kedua Prannoy ke atas Axelsen daripada sembilan pertemuan sebelum ini.
Prannoy yang merupakan pilihan kesembilan kejohanan akan berdepan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn di peringkat separuh akhir esok.
“Saya terkejut dengan begitu banyak kesilapan yang saya lakukan pada hari ini. Saya langsung tidak berasa selesa sepanjang perlawanan, dan tidak bermain seperti yang saya mahukan. Saya anggap ini lumrah permainan, dan saya perlu lihat apa yang boleh dipelajari daripada kekalahan ini untuk saya bangkit pada masa hadapan.
“Saya berasa agak kecewa apabila menghampakan penyokong Denmark di Royal Arena, tetapi inilah hakikatnya. Saya akui ada banyak tekanan tetapi di tahap saya ketika ini, saya lebih tidak berpuas hati dengan cara permainan saya pada hari ini, itu sahaja,” jelas Axelsen.