NEW YORK: Pelari pecut sensasi Suriname, Issam Asinga yang merupakan pelari termuda yang berjaya mencapai catatan masa bawa 10 saat (s) untuk acara 100 meter (m), telah digantung sementara waktu kerana terlibat dengan kes doping.
Asinga, 18 tahun telah dikesan menggunakan bahan terlarang, GW1516, sejenis dadah yang mampu mengubahsuai metabolisma badan dan dianggap berbahaya untuk manusia.
Atlet itu kini digantung sementara waktu sementara menanti tarikh pendengarannya.
Bagaimanapun, Asinga tampil mempertahankan dirinya dengan menjelaskan kesemua makanan tambahan dan ubat-ubatan yang diambilnya adalah bebas daripada bahan terlarang, dan dia tidak akan sesekali menghampakan harapan orang di sekelilingnya.
Dia juga turut memuat naik hasil ujian doping sebelum ini yang dilakukannya pada 11 Jun dan 28 Julai lalu, dengan kedua-duanya menunjukkan keputusan negatif.
Justeru dia sedia mencabar keputusan sampel B yang diambil pada 18 Julai, dan sekiranya keputusan yang keluar kekal negatif, Asinga masih berpeluang untuk beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary yang akan berlangsung 19 Ogos ini.
“Saya menghormati proses yang dilakukan oleh Unit Integriti Olahraga (AIU) dan saya akan memberikan kerjasama kepada mereka, kerana saya juga ingin mengetahui apa yang telah berlaku.
“Saya dan pasukan saya sedar bahawa kami adalah bintang generasi baru yang kini menjadi harapan masyarakat dan saya tidak akan sesekali menghampakan mereka.
“Pihak AIU telah bersetuju untuk menguji sampel B saya, sebelum Kejohanan Olahraga Dunia minggu hadapan. Jadi sehingga waktu itu, saya akan kekal tenang dan menunggu keputusan selanjutnya,” jelas Asinga menerusi satu hantaran yang dimuat naik di media sosial peribadinya.
Nama Asinga menjadi sebutan setelah dia berjaya memecahkan rekod dunia bawah 20 tahun acata 100m pecut dengan catatan 9.89s ketika bersaingan dalam Kejohanan Olahraga Amerika Selatan di Brazil pada Disember tahun lalu.