LONDON: Liverpool perlu memikirkan tentang masa depan Mohamed Salah selepas Al-Ittihad sanggup membayar 130 juta pound (RM763.20 juta) untuk bintang Mesir itu, selain kontrak 170 juta pound (RM998.03 juta) setahun.
Reds sebelum ini menegaskan, Salah tidak akan dijual, namun Al-Ittihad masih tidak berputus asa dan dijangka melancarkan tawaran sebelum jendela perpindahan ditutup, Jumaat ini.
Kelab Arab Saudi itu sedia meyakinkan Salah dengan menawarkan kontrak mewah seperti yang dinikmati Cristiano Ronaldo dan Neymar dalam Liga Pro Saudi.
“Tiada apa yang perlu diperkatakan, kami tidak menerima sebarang tawaran. Mo adalah pemain Liverpool dan penting dalam perancangan kami.
“Jika ada sebarang tawaran, jawapannya adalah tidak,” tegas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.
Ketika jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris akan ditutup pada Jumaat, kelab-kelab Arab Saudi pula mempunyai masa sehingga 20 September untuk menyempurnakan urusan mereka.
Kata Klopp, tarikh tutup jendela perpindahan yang berbeza akan menyukarkan kelab-kelab Liga Perdana dan Eropah.
“Sebelum ini perkara sama berlaku dengan Russia, mereka mempunyai jendela perpindahan berbeza tetapi tidak mempunyai banyak wang.
“Jika anda ingin menjadi sebahagian daripada sistem, anda perlu melakukan urusan perniagaan dalam tempoh yang sama. Saya pasti FIFA (badan bola sepak dunia) akan melakukannya jika mereka mahu,” katanya. – AGENSI