RIYADH: Penyerang sensasi Brazil, Neymar bukan sahaja dikaitkan dengan kepulangan ke kelab lamanya, Barcelona, malah turut menarik minat pasukan Arab Saudi, Al-Hilal.
Penyerang berusia 31 tahun itu sedang mencari jalan keluar dari Paris Saint-Germain (PSG), dan Barcelona dilihat sebagai pilihan terbaik, ditambah sokongan penuh presiden kelab, Joan Laporta untuk kembali mendapatkannya.
Pengurus Barcelona, Xavi Hernandez tidak begitu menyukai idea membawa masuk semula Neymar ke Camp Nou, namun Laporta berhasrat untuk memujuknya secara peribadi.
Di pihak Al-Hilal, pasukan bersedia untuk membawa Neymar beraksi ke Liga Arab Saudi dengan tawaran bernilai 60 juta euro (RM302 juta).
Untuk melaksanakannya, pihak Al-Hilal sudah pun menghantar delegasi untuk membuat rundingan awal bersama ejen dan bapa Neymar.
PSG pula terbuka untuk melepaskan Neymar sekiranya bayaran diterima mereka adalah lumayan, ditambah gergasi Perancis itu telah pun berberlanja besar untuk menandatangani beberapa pemain baru antaranya Malcom, Ruben Neves, Sergej Milinkovic-Savic, dan Kalidou Koulibaly.
Dalam masa yang sama, khabar angin juga bertiup kencang bahawa Neymar mungkin akan beraksi semula di Nou Camp menerusi status pemain pinjaman daripada Al-Hilal.
Begitupun untuk melaksanakan perjanjian sedemikian, ia memerlukan proses yang amat rumit namun tidak mustahil.
Sekiranya berjaya, Barcelona tidak perlu untuk berbelanja besar untuk membayar keseluruhan gaji Neymar, tetapi ia tertakluk kesediaan pemain itu untuk berhijrah ke luar Arab Saudi serta kesediaan Al-Hilal untuk bersetuju dengan syarat dikemukakan kelab Catalan itu. – AGENSI