Aira buru gelaran remaja Asia keenam

Aira buru gelaran remaja Asia keenam

AIRA Azman buru gelaran keenam Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia ke-30.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bintang muda sedang meningkat, Aira Azman turun dengan misi memburu gelaran keenam dalam penampilan terakhir pada Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia ke-30 yang akan membuka tirai di Dalian, China hari ini.

Memegang status selaku naib juara remaja dunia di Melbourne, Australia, tiga minggu lalu, misi pemain berusia 19 tahun itu sepatutnya mampu dilunaskan tanpa sebarang kekangan daripada pencabarnya.

Aira yang hanya memiliki rehat selama seminggu sebelum terbang ke China, turut berdepan jadual padat menjelang pertandingan tersebut.

Berada di atas podium untuk tiga minggu berturut-turut dan yang terbaharu merangkul gelaran sulung di peringkat kebangsaan, minggu lalu, Aira berkata, kehadirannya di China hanya membawa satu misi iaitu mempertahankan gelaran kategori bawah 19 tahun yang dimenangi pada tahun lalu.

“Penyertaan saya pada Kejuaraan Remaja Asia adalah yang terakhir dan saya mahu menutupnya dengan gelaran keenam secara keseluruhan selepas pernah memenangi sebanyak dua kali masing-masing untuk kategori bawah 13 tahun serta 15 tahun.

“Untuk bawah 19 tahun, jika saya berjaya dengan misi saya, maka saya akan merangkul gelaran kedua untuk kategori itu,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Selepas Skuasy Remaja Asia, Aira perlu mempersiapkan diri pula untuk penampilan sulungnya pada Sukan Asia di Hangzhou, September depan.

“Selepas Kejuaraan Remaja Asia, saya akan menyertai Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz 23 hingga 27 Ogos di Negeri Sembilan, selepas itu, saya ada masa kira-kira tiga minggu sebelum terbang kembali ke China untuk Sukan Asia.

“Jadual memang padat, saya menyertai pertandingan secara berturut-turut tanpa rehat, tetapi saya perlu mengharunginya kerana di peringkat senior beginilah keadaannya,” ujarnya.

Aira yang mahu dirinya benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental untuk bersaing di pentas profesional turut mengakui, dia juga memerlukan rakan sepelatih yang berkualiti tinggi bagi memastikan dirinya mampu bersaing dengan jaguh handalan dunia.

“Semasa menyertai Skuasy Remaja Dunia di Melbourne, saya berdepan dengan bakat muda dari Mesir, Amina Orfi yang mirip Datuk Nicol David ketika remaja.

“Amina memenangi gelaran remaja dunia ketika berusia 15 tahun, sama dengan Nicol dan pada umur semuda itu, Amina berpeluang berlatih dengan senior yang menghuni ranking 10 terbaik dunia, jadi, melihatkan itu saya sedar untuk menjadi hebat, penting memiliki rakan sepelatih yang bagus,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya