PETALING JAYA: Menjelang Sukan Asia di Hangzhou, China, bulan depan, prestasi yang dipamerkan barisan pemain skuasy negara terutama Aifa Azman dan Rachel Arnold pada Kejohanan Skuasy Paris 2023 di Paris, Perancis menunjukkan petanda positif.
Beraksi di pentas lebih tinggi tahap kesukarannya iaitu pada Jelajah Dunia di Paris berbanding temasya empat tahun sekali itu, baik Aifa mahupun Rachel berjaya meloloskan diri ke pusingan ketiga selepas lulus ujian pada pusingan pertama dan kedua.
Bagi Aifa yang menghuni ranking ke-29 dunia, dia melepasi halangan wakil tuan rumah, Elona Villard 11-9, 11-4, 11-7 dalam aksi pembukaan, tetapi, semalam, dia tidak perlu memerah keringat apabila pencabarnya Tomato Ho dari Hong Kong menarik diri kerana ditimpa kecederaan pada pusingan kedua.
Rachel pula seawal pusingan pertama, dia diberi tentangan sengit oleh pemain Mesir, Hana Moataz sebelum menang 11-3, 6-11, 11-7, 11-3 dan pada pusingan kedua, pemain berusia 27 tahun itu menundukkan wakil England, Jasmine Hutton 11-7, 13-11, 11-7 dalam masa 30 minit.
Cuma pemain perseorangan lelaki Malaysia, Ng Eain Yow yang mendapat bye pada aksi pembukaan terkandas dalam pusingan kedua di tangan pemain veteran India, Saurav Ghosal 11-3, 7-11, 11-6, 7-11, 11-5 dalam pertarungan sengit selama 1 jam 12 minit.
Pada peringkat 16 terbaik, esok, ujian sebenar menanti Aifa apabila dia terpaksa berdepan pilihan kelima dari Mesir, Nour El Tayeb, manakala, Rachel yang bermain, hari ini, beraksi menentang pemain veteran New Zealand, Joelle King yang diletakkan sebagai pilihan keempat.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, Rachel mempamerkan permainan yang mantap sepanjang 30 minit menentang Hutton.
“Dia berjaya mengendalikan permainannya dengan baik terutama pada situasi genting dan Aifa pula, laluannya lebih mudah apabila Tomato menarik diri kerana cedera,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas mengenai Eain Yow, Maniam memberitahu, walaupun kalah, persembahan pemain No.18 dunia itu masih memuaskan apabila dia beraksi selama 72 minit sebelum tewas.
“Menyaksikan persembahannya, mungkin ada beberapa kelemahan perlu diberi perhatian dalam persediaan menjelang Sukan Asia,” ujarnya.
Ketika ditanya lawan menanti Aifa dan Rachel pada pusingan ketiga, beliau mengakui, dua pemain Malaysia itu bakal berdepan satu perlawanan sukar, tetapi, percaya mereka akan memberikan yang terbaik. – UTUSAN ONLINE