KUALA LUMPUR: Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar dan Ivan Yuen yang diletakkan selaku pilihan pertama serta kedua berada di landasan tepat bagi mengejar misi peribadi merangkul gelaran pada Kejohanan Skuasy Kebangsaan WCE SRAM ke-38 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.
Bagi Addeen, dia berhajat untuk memburu gelaran sulungnya di peringkat kebangsaan, manakala, Ivan pula jika berjaya merealisasikan sasarannya itu, maka, kejayaan tersebut adalah yang kelima buatnya.
Pada pusingan kedua, hari ini, Addeen tidak menghadapi masalah untuk membenam cabaran Muhammad Amir Amirul Azhar 11-4, 11-5, 11-7 dalam masa 35 minit.
Kemenangannya itu bakal menemukan Adden dengan Ong Sai Hung pada separuh akhir, esok.
Sai Hung pula, sebelum mara dia dipaksa berhempas pulas untuk menang ke atas Darren Rahul Pragasam 11-9, 11-6, 8-11, 11-8 dalam masa 53 minit.
Addeen ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, dia bermain lebih baik berbanding, semalam.
“Hari ini saya beraksi dengan lebih kemas dan kurang melakukan kesilapan, apa yang penting ialah fokus ketika bermain dan mental kena kuat bagi mengajak lawan lebih banyak berlari dalam gelanggang,” katanya di sini, hari ini.
Mengakui tidak melakukan sebarang perubahan dalam permainannya, Adden kini lebih selesa mengharungi satu demi satu perlawanan, sebelum memikirkan gelaran.
“Elok buat satu per satu, sudah tentu saya mahu menang, jadi, saya perlu fokus kepada pencabar saya terlebih dahulu,” ujarnya.
Sementara itu, pilihan kedua, Ivan Yuen mudah mengalahkan Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif 11-2, 11-6, 11-7 untuk menempah pertemuan dengan C. Ameeshenraj dalam satu lagi separuh akhir.
Ivan kini memiliki koleksi empat gelaran kebangsaan iaitu sejak 2017 hingga 2020 dan jika berjaya dengan misinya tahun ini, maka, dia berpeluang mencatat namanya sebagai salah seorang pemain skuasy paling dominan dalam sejarah pertandingan peringkat domestik itu.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu ketika ditemui mengakui, inilah peluang terbaiknya untuk memburu kejuaraan kelima, lebih-lebih lagi tanpa kelibat juara bertahan, Ng Eain Yow yang menarik diri.
“Kejohanan Kebangsaan merupakan salah satu pertandingan yang menjadi kegemaran saya, tetapi, saya tidak mahu terlebih yakin, lebih baik ambil langkah demi langkah, jadi, kita tengoklah macam mana esok,” ujarnya.
Mengulas mengenai pencabarnya pada separuh akhir, Ivan menjelaskan, Ameeshenraj merupakan pemain muda dan dia tidak pernah beraksi menentang lawannya itu sebelum ini.
“Dia seorang pemain muda yang sedang meningkat naik, saya jangkakan, esok, tidak mudah buat saya, menyaksikan perlawanan Ameeshenraj menentang Muhammad Syafiq Kamal, peluang 50-50,” katanya.
Dalam satu lagi aksi pusingan kedua, pilihan ke-5/8, Ameeshenraj mengejutkan Syafiq yang diletakkan sebagai pilihan ke-3/4 menerusi kemenangan straight set 15-13, 11-2, 11-9 dalam masa 54 minit. – UTUSAN ONLINE