PETALING JAYA: Debaran kian memuncak buat semua pemain badminton menjelang undian Kejohanan Dunia yang akan diadakan di ibu pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Kuala Lumpur hari ini.
Tumpuan terarah kepada beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turun untuk mempertahankan kejuaraan dimenangi di Tokyo tahun lalu.
Bagaimanapun situasi kini tidak lagi sama, ditambah Aaron dan Wooi Yik masih buntu untuk meraih sebarang gelaran dalam Jelajah Dunia.
Tiga kejohanan sebelum ini yang disertai Aaron-Wooi Yik bermula di Terbuka Korea, Jepun dan Australia tidak berakhir positif, justeru meletakkan mereka dalam tekanan tinggi menjelang yang akan berlangsung di Copenhagen, Denmark pada 21 hingga 27 Ogos depan.
“Sudah tentu saya dan Aaron mahu mempertahankan gelaran tersebut tetapi ia bukanlah satu perkara senang.
“Tahun lalu kami rangkul kejuaraan dunia kerana tidak fikir banyak dan hanya fokus satu demi satu perlawanan.
“Dalam tempoh dua minggu ini kami perlu melakukan lebih latihan dari segi strategi permainan yang masih kurang. Strategi itu penting, jadi saya dan Aaron akan beri lebih perhatian,” jelas Wooi Yik ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara kelmarin.
Begitupun Aaron dan Wooi Yik sudah bersedia dengan segala kemungkinan apabila mereka diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan.
“Undian waktu itu pun tidak mudah tetapi bermula dari pusingan pertama keyakinan kami semakin meningkat dan ia sangat membantu kami. Apa yang kami buat waktu itu hanyalah fikir mengenai persiapan kami.
“Namun, kali ini sebagai juara bertahan, sudah pasti orang akan memerhati kami, bukan saja Kejohanan Dunia tetapi kejohanan lain juga.
“Corak permainan lawan kami sudah berubah dan ia tidak mudah untuk kami menyesuaikan keadaan. Apa pun, kami tetap akan buat persiapan terbaik untuk menghadapi Kejohanan Dunia kali ini,” tambahnya.