COPENHAGEN: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kecemerlangan untuk mempertahankan mahkota juara dunia apabila menyingkirkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin dalam pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia hari ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Royal Arena, Copenhagen hari ini, Aaron dan Wooi Yik cemerlang untuk mengatasi pasangan Taiwan itu untuk mencatatkan kemenangan ‘straight set’ 21-16, 21-18 dalam tempoh 43 minit.
Mereka bakal berhadapan pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xian Yi yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan di peringkat suku akhir esok.
“Memang kami mahu mengelakkan mereka daripada cuba untuk mengheret ke set penentuan, selepas kami beraksi baik di set pertama dan cuba untuk meneruskannya di set kedua, dengan mengekalkan tumpuan kami di dalam gelanggang.
“Saya rasa kami semakin baik hari demi hari, dan ketika kami perlu kembali fokus untuk lawan kami pada hari esok,” jelas Aaron selepas tamat perlawanan.
Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi satu lagi pasangan negara, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin yang tunduk kepada wakil tuan rumah, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Ee Yi-Yew Sin beraksi di bawah tahap sebenar sehingga membiarkan lawan yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan menguasai perlawanan untuk menumpaskan mereka dengan keputusan 15-21, 10-21.
Turut sama terkandas merupakan pasangan muda, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang akur dengan kehebatan pilihan ketiga kejohanan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dengan keputusan 16-21, 21-14, 17-21.