PETALING JAYA: Malaysia bermula langkah kanan apabila 16 wakil negara melepasi halangan pusingan pertama pada Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia di Dalian, China, hari ini.
Untuk kategori utama iaitu bawah 19 tahun lelaki dan perempuan, rata-rata pemain negara mendapat bye pada pusingan pertama kecuali Tho Wei Yan, U. Thanussa serta Gong Zhi Xuan.
Nasib tidak menyebelahi Wei Yan yang diletakkan sebagai pilihan ke-9/16 apabila tewas mengejut di tangan pemain bukan pilihan dari Pakistan Anas Ali Shah 11-4, 8-11, 6-11, 3-11.
Bagaimanapun, dalam saingan perempuan kategori sama, pilihan ke-5/8, U. Thanussa mudah membenam wakil tuan rumah, Wang Qianyu 11-2, 11-1, 11-1.
Turut mengiringi Thanussa ke peringkat seterusnya ialah rakan senegara, Zhi Xuan yang turun selaku pilihan ke-9/16 apabila dia tidak berdepan masalah menyingkirkan Eom Jun dari Korea Selatan 11-2, 11-1, 11-4.
Untuk kategori bawah 17 tahun lelaki, pilihan kedua, Low Wa Sern menundukkan wakil Iran, Seyed Mobin Seyedan 11-4, 11-0, 11-5, manakala, M. Nickhileswar mengetepikan pencabar tuan rumah, Teng Long 11-5, 11-3, 11-2.
V. Haneesha yang beraksi dalam kategori bawah 17 tahun perempuan menumpaskan pemain tuan rumah, Xu Ruoyu 11-1, 11-2, 11-0.
Sementara itu, bagi kategori bawah 15 tahun lelaki, pilihan kedua, Erwin Kros Christopher menumpaskan Aminul dari Bangladesh 11-3, 11-1, 11-3, manakala,
Muhammad Raziq Putra Mohd Fakhrur Razi menewaskan Md Parvez Karim dari Bangladesh 11-10, 11-0, 11-4.
Jayden Oo yang beraksi untuk kategori bawah 13 tahun lelaki pula mengalahkan Yousof Gorashi dari Iran 11-3, 11-8, 11-0.
Jurulatih skuasy remaja Malaysia, Shahril Shahidan berkata, hari ini, barisan pemain negara bermula dengan langkah kanan.
“Daripada 18 orang pemain yang beraksi, 16 wakil Malaysia berjaya mara ke pusingan kedua, manakala 13 pemain negara mendapat ‘bye’.
“Hanya dua pemain kita tewas iaitu Jayden Looi dalam kategori bawah 13 tahun apabila dia kalah kepada pemain Paksitan, sementara, Wai Yan dalam kategori bawah 19 tahun juga kepada pemain Pakistan dengan keputusan 3-1,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Shahril, esok, pertarungan dijangka berlangsung sengit, terutamanya untuk kategori bawah 17 tahun lelaki dan perempuan, serta bawah 13 tahun lelaki.
“Pemain kita perlu berdepan lawan yang jauh lebih kuat kerana di antara mereka akan menentang pemain pilihan kejohanan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE