1,000 pelumba basikal lasak sertai PTT Jamborace dan Funrace Tasik Kenyir - Utusan Malaysia

1,000 pelumba basikal lasak sertai PTT Jamborace dan Funrace Tasik Kenyir

HISHAMUDDIN Abdul Karim (belakang, tengah) bersama barisan penaja pada majlis prapelancaran TPP Jamborace dan Funrace Tasik Kenyir 2023 di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lebih 1,000 peserta tempatan dan antarabangsa dijangka menyertai kejohanan basikal lasak PTT Jamborace dan Funrace Tasik Kenyir 2023 pada 6 dan 7 Oktober ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim, sebanyak 10 kategori akan dipertandingkan dengan hadiah keseluruhan ditawarkan RM100,000.

Beliau berkata, perlumbaan dua hari itu akan menampilkan kelainan selepas diadakan buat julung kali mengelilingi Pulau Poh, Tasik Kenyir dekat Hulu Terengganu.

“Selain disertai pelumba dalam negara, kita juga menjangkakan penyertaan peserta dari negara jiran antaranya Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.

“Kategori tumpuan ialah kategori terbuka lelaki dengan laluan sejauh tiga kilometer setiap pusingan mengelilingi hutan dara di Pulau Poh, Tasik Kenyir yang baru dibuka bulan lalu.

“Hadiah ditawarkan juga antara yang tertinggi dalam pertandingan basikal lasak di negara ini mencecah RM100,000 termasuk cabutan bertuah dan hadiah tunai,” ujarnya.

Hishamuddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis prapelancaran TPP Jamborace dan Funrace Tasik Kenyir 2023 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Kejohanan ini dianjurkan kerjasama antara syarikat pelaburan induk strategik kerajaan negeri, Terengganu Incorperated dan penaja utama, PTT Synergy Group Berhad.

Tambah beliau lagi, kejohanan tersebut dapat melonjakkan lagi sektor pelancongan tempatan di Tasik Kenyir dengan fasiliti disediakan seperti kemudahan penginapan dan restoran.

Katanya, laluan yang strategik di Pulau Poh itu berpotensi dijadikan trek tetap kepada sukan berbasikal lasak sekaligus akan menarik minat peminat tegar sukan tersebut pada masa akan datang.

“Sebelum ini juga sudah ada penganjuran sukan lasak lain di Tasik Kenyir antaranya basikal bukit (mountain bike) dan jet ski, jadi kita boleh anjurkan kejohanan ini secara tahunan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN