PETALING JAYA: Biarpun sudah mendapatkan jurulatih dan melakukan perubahan dalam kariernya, namun nasib malang masih menghantui Lee Zii Jia apabila tersingkir seawal pusingan pertama badminton Terbuka Jepun di Tokyo, sebentar tadi.
Zii Jia yang turun menentang pemain tuan rumah, Kenta Nishimoto tumpas dalam pertarungan sengit 22-20, 17-21, 19-21 dalam aksi di Gimnasium Yoyogi di Tokyo.
Ini kekalahan pusingan pertama kedua berturut-turut buat bekas juara All England dan Asia itu selepas turut ditunjukkan jalan keluar awal pada Terbuka Korea, minggu lalu.
Nasib sama turut dialami seorang pemain perseorangan lelaki profesional negara, Cheam June Wei yang terpaksa akur tewas di tangan jaguh Indonesia, Jonatan Christie 7-21, 9-21.
Acara beregu lelaki pula menyaksikan pasangan negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan wakil Jepun, Ayato Endo-Yuta Takei 21-18, 21-15.
Juara Terbuka Amerika Syarikat itu akan bertemu beregu China, Liu Yiu Chen-Ou Xuan Yi bagi perebutan tempat ke suku akhir. – UTUSAN ONLINE