PETALING JAYA: Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia mengakui, dia dan jurulatihnya, Wong Tat Meng perlu segera serasi bagi mengejar mata ke Sukan Olimpik Paris 2024 kerana masa kian suntuk.
Bekas juara All England dan Asia itu juga menegaskan, penting untuknya memulakan kerjasama pertama mereka dengan langkah positif apabila beraksi dalam Terbuka Korea di Yeosu, Selasa depan.
“Ini permulaan baharu dan saya berharap dapat menyesuaikan diri secepat mungkin dengan apa yang diajar oleh Tan Meng kerana kita sudah tiada masa. Harap, kami ada keserasian baik untuk menjalinkan kerjasama.
“Saya memilih dia (Tat Meng) kerana dia ada pengalaman dan pernah bimbing skuad negara, selain pernah pergi ke Korea Selatan dan terakhir dia melatih perseorangan Hong Kong.
“Dia juga jurulatih tempatan dan saya pun sememangnya berharap akan dilatih jurulatih tempatan. Ini akan menaikkan lagi semangat saya kerana kami akan bekerjasama di pentas Olimpik sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Good morning 🙌🏼
Here’s Lee Zii Jia on why Coach Wong Tat Meng was chosen as Team LZJ’s Coaching Director and what he hopes to achieve in the early stages of training together before their first ever campaign in the upcoming Korea Open. pic.twitter.com/zxYzuNOCra
— Team LZJ (@TeamLZJ) July 11, 2023
Terbuka Korea menjadi pentas pertama Zii Jia sejak mendapat sentuhan Tat Meng awal bulan ini, dengan pemain kelahiran Alor Setar itu turun selaku pilihan kelapan kejohanan.
Kekalahan demi kekalahan di peringkat awal yang dialami Zii Jia tahun ini mendorong pemain berusia 25 tahun itu memutuskan untuk berehat seketika daripada badminton selepas tewas di pusingan pertama Terbuka Indonesia, bulan lalu.
Zii Jia bukan sahaja gagal memenangi sebarang kejuaraan tahun ini, malah sering tersingkir di pusingan awal dan menyebabkan dia terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dunia dengan menghuni ranking ke-17 ketika ini.