KUALA LUMPUR: Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Goh V Shem belum terfikir untuk menggantung raket walaupun usianya sudah mencecah 34 tahun.
Pernah mengecapi saat kegemilangan kariernya bersama Tan Wee Kiong sebagai beregu No. 1 dunia, V Shem berkata, dia masih mahu meneruskan kariernya sebagai pemain badminton profesional selagi kudratnya mampu.
“Saya memang belum terfikir untuk bersara, jika saya masih boleh bermain sampai umur 40 tahun, saya akan teruskan,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Juara dekat sini, semalam.
V Shem yang berpasangan dengan Nur Mohd Azriyn Ayup pada Kejohanan Badminton Kebangsaan tewas kepada beregu muda Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Chia Wei Jie-Liew Xun 16-21, 17-21 pada pusingan kedua.
Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu juga mendedahkan dia kini tidak lagi bergandingan dengan Lim Khim Wah di pentas antarabangsa selaku beregu profesional negara.
“Saya tidak lagi bermain dengan Khim Wah dan saya juga telah tarik diri daripada menyertai Terbuka Korea Selatan dan Australia.
“Buat masa ini, saya tiada pasangan dan masih mencari gandingan baharu, tetapi mungkin ambil masa kerana bukan mudah untuk cari pengganti dalam tempoh singkat,” tegasnya.
Ketika diajukan pertanyaan mengapa berpisah dengan Khim Wah, V Shem cuma memberi alasan masalah peribadi sebagai punca perpisahan itu terjadi.
Sementara itu, dalam aksi lain, pilihan kedua dari BAM, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe mara ke pusingan ketiga selepas menewaskan beregu Sarawak, Owen Ting-Pui Wee Young 21-10, 21-14.
Pilihan pertama yang mengandingkan pemain dari Melaka/Johor, Boon Xin Yuan-Wong Tien Chi menyingkirkan Zulwaqarriz Ahmad Redzuan-Loh Zi Heng dari BAM 21-10, 21-14.
Turut meneruskan kemaraan beregu muda BAM, Muhammad Fazriq Mohamad Razif-Muhammad Haikal Nazri mengetepikan Goh Shao Tang-Ng Jhi Hao 21-16, 21-15.
Satu lagi pasangan BAM yang turun selaku pilihan ketiga, Wan Mohd Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mengalahkan Mohd Arif Abdul Latif-Amir Syazwan Al-Razi Mohd Shahriman 21-14, 21-12.-UTUSAN