PETALING JAYA: “Masuk ke gelanggang kena yakin akan menang bukan kalah.”
Itu nasihat yang dititipkan jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turun menentang pasangan No. 1 dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China pada pusingan kedua Terbuka Jepun hari ini.
Semalam, Tang Jie-Ee Wei tidak menghadapi masalah melepasi pusingan pembukaan di Tokyo selepas menyingkirkan Robin Tabeling-Selena Piek dari Belanda 21-15, 21-18.
Si Wei-Ya Qiong yang juga juara dunia tiga kali pula mara selepas menewaskan beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-8, 21-13.
Ini pertemuan pertama Tang Jie-Ee Wei dengan Si Wei-Ya Qiong, sekali gus menjanjikan aksi menarik.
“Perkara paling penting harus difikirkan Tang Jie-Ee Wei, tiada yang mustahil dan beregu nombor satu dunia juga boleh ditewaskan.
“Jika masuk gelanggang sahaja sudah tidak yakin, sukar untuk menang,” kata Nova.
Sementara itu dalam aksi beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah dipaksa berhempas pulas menyingkirkan pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning 21-11, 9-21, 21-19.
Beregu utama negara itu berpotensi berdepan pasangan No. 1 dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China yang menumpaskan mereka pada pusingan kedua di Korea minggu lalu.
Qing Chen-Yi Fan akan berdepan beregu Kanada, Catherine Choi-Josephine Wu pada pusingan kedua hari ini.
“Pearly-Thinaah lalui perlawanan yang sukar. Set kedua dan ketiga, ada banyak mata lawan dapat berpunca dari kesalahan sendiri,” kata Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky kepada Utusan Malaysia.
Dalam beregu beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See ke pusingan kedua selepas mengatasi wakil Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-18, 21-18, 21-18 untuk bertemu Supaj Jomkoh-Supissara Paewsampiran dari Thailand.
Beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See pula menempah pertemuan dengan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan selepas menumpaskan gandingan Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 21-17, 21-11.