PETALING JAYA: Pearly Tan-M. Thinaah mempamer aksi terbaik mereka, namun ia belum cukup untuk menamatkan badi kekalahan kepada beregu wanita No. 1 dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China apabila tewas di pusingan kedua badminton Terbuka Korea, hari ini.
Pasangan negara itu memberikan tentangan sengit dalam aksi tiga set sebelum kalah 17-21, 21-17, 19-21 di Stadium Jinnam, Yeosu.
Pearly-Thinaah yang menghuni ranking ke-11 dunia tidak pernah menang ke atas Qing Chen-Yi Fan dalam semua tiga pertemuan terdahulu, dan kekalahan terbaru menjadi rekod pertemuan mereka kepada 0-4.
“Bagi saya prestasi Pearly-Thinaah adalah positif mengambil kira ini kejohanan pertama mereka sejak kali terakhir beraksi dalam Terbuka Singapura (bulan lalu).
“Cuma, hari ini di set pertama ketika mereka mendahului 15-8 atau 15-9, mereka terlalu cepat mahu mematikan serangan lawan dan menyebabkan mereka terikut rentak permainan beregu China itu.
“Saya harap mereka dapat belajar daripada kekalahan ini dan buat persiapan untuk menghadapi kejohanan seterusnya,” kata jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How.
Pearly juga baru pulih daripada kecederaan siku yang dialaminya di Singapura, dan kini mengharapkan keputusan lebih baik pada Terbuka Jepun yang berlangsung dari 25 hingga 30 Julai ini.
Dalam saingan beregu campuran, dua pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut tersingkir seawal pusingan kedua.
Soon Huat-Shevon tewas kepada pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 17-21, 13-21, manakala Kian Meng-Pei Jing kalah mudah 9-21, 7-21 di tangan pilihan kedua dari Thailand, Dechapol Puvaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.
Sementara itu, bagi saingan perseorangan wanita, S. Kisona memberi tentangan sengit kepada pemain No. 1 dunia, Akane Yamaguchi dari Jepun sebelum akur 22-20, 14-21, 14-21. – UTUSAN ONLINE