PETALING JAYA: Kejayaan pemain e-sukan negara, Mohd. Haikal Noh dan Mohd. Adib Abd. Aziz meraih tempat ketiga Kejohanan eFootball IFel Asia Tenggara (IFel SEA) 2023 melonjakkan Malaysia sebagai pesaing baharu terkuat di rantau ini.
Buat julung kalinya, format pertandingan yang menggabungkan perlawanan console dan mobile, menyaksikan Malaysia menang 3-1 ke atas Vietnam dalam perebutan tempat ketiga kelmarin.
Aksi yang berlangsung di Jakarta, Indonesia itu turut meraih tontonan siaran langsung 70,000 peminat e-sukan dari seluruh ASEAN di TikTok, terutama ketika Malaysia tewas 1-3 kepada Indonesia dalam pertembungan separuh akhir.
Haikal berkata, kemenangan ini meningkatkan keyakinannya kerana telah menaikkan nama Malaysia berdiri sebaris dengan Thailand dan Indonesia, meskipun menyedari potensi untuk menyaingi kedua-dua negara itu sangatlah tipis.
“Ini kemenangan pertama Malaysia dan pencapaian terbaik buat negara. Kalau ikutkan, pencabar terhebat kejohanan ini ialah Thailand dan Indonesia, sebab mereka ada liga spesifik untuk perlawanan seperti ini, sedangkan Malaysia tidak.
“Kejayaan ini sangat membantu kedudukan Malaysia dalam komuniti ASEAN sebab kami datang dengan kesedaran yang negara lain ada persediaan lebih rapi, malah saya dan Adib pun hanya baru berjumpa di Indonesia untuk bertanding.
“Sebelum ini, kami berlatih sendiri-sendiri dan itulah cabaran yang sukar, apatah lagi Adib kurang pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa. Saya banyak bantu dia dari segi kekuatan mental sebab dia tewas dua hari berturut-turut, tetapi berjaya bangkit pada hari ketiga,” katanya.
Bertindak selaku pemain ‘console’, Haikal yang sebelum ini pernah menjalani latihan dan beraksi di Thailand turut berpendapat kejohanan ini wajar menjadi ikutan untuk Malaysia mewujudkan liga khas bagi mencungkil bakat pemain tempatan.
Dia yang juga pemain pasukan JDT GBX Esports berharap, kemenangan ini akan membuka mata lebih ramai peminat e-sukan Malaysia untuk terlibat lebih serius dan mengharumkan nama negara di pentas dunia.
“Saya harap kejayaan ini dapat liputan lebih banyak selepas ini. Kami dilayan dengan sangat profesional, malah tontonan secara atas talian dan offline pun meriah, mencecah hampir ratusan ribu,” katanya. – UTUSAN ONLINE