PETALING JAYA: Wong Tat Meng akan menggunakan segala pengalaman sebagai jurulatih untuk mengembalikan Lee Zii Jia sebagai perseorangan badminton lelaki yang digeruni.
Tat Meng yang memulakan tugas membimbing bekas juara All England itu kelmarin telah mengenal pasti kelemahan utama Zii Jia, iaitu mental dan psikologinya.
Pada pandangan jurulatih berusia 55 tahun itu, Zii Jia mempunyai potensi besar dan boleh melangkah jauh, namun dia harus tahu bagaimana untuk menangani tumpuan serta tekanan yang diletakkan.
“Semua itu hadir dalam satu pakej, kalau dia mendapat tumpuan besar, tekanan yang hadir juga amat berat. Dia patut belajar untuk menerimanya.
“Tekanan dari luar, sama ada peminat, media atau sesiapa sahaja, semua pihak ada harapan tinggi terhadapnya.
“Dia harus yakin terhadap dirinya sebab orang awam, rakyat Malaysia percaya dia boleh melakukannya.
“Selain aspek kemahiran, saya banyak bercakap mengenai pemikiran dia, dari sudut psikologi maca mana dia menangani tekanan, mengawal pertandingan serta berdepan harapan.
“Semua itu perlu digabungkan, bukan hanya mengenai hal dalam gelanggang,” jelas Tat Meng ketika ditemui semalam.
Prestasi Zii Jia, 25, tahun ini amat membimbangkan, di mana dia sering tersingkir di pusingan awal dan semalam, bekas juara Asia itu mengalami kejatuhan dua lagi anak tangga dalam ranking dunia meletakkannya di tempat ke-16.
Tat Meng mungkin jawapan yang dicari Zii Jia setelah berpisah dengan Indra Wijaya kerana pengendali itu pernah mempunyai sentuhan magis menggilap pemain muda Korea Selatan, An Se-Young menjadi salah seorang perseorangan wanita digeruni.
Dalam masa sama, Tat Meng terkejut dengan undian Terbuka Korea (18-23 Julai) kerana menemukan Zii Jia dengan bekas anak didiknya di Hong Kong, Angus Ng Ka Long.
Lebih menarik, Hong Kong melantik bekas Pengarah Kejurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann untuk membimbing perseorangan lelaki negara itu.
“Undian kadangkala kelakar, kita tidak boleh kawal, kalau Zii Jia mahu berjaya atau mencapai prestasi terbaik, sesiapa sahaja lawannya, tidak kira Angus (Ng Ka Long), Lee Cheuk Yiu, dia kena lawan,” katanya.