JOHOR BAHRU: Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi bertekad untuk tidak membenarkan gawangnya dibolosi pada pusingan kedua saingan Liga Super musim ini lebih-lebih lagi ketika beraksi di laman sendiri.
Selepas melalui 15 perlawanan, JDT hanya membenarkan gawang dibolosi sebanyak tiga kali, masing-masing ketika berentap dengan Kuala Lumpur City Fc (6-1), Terengganu (1-3) dan Kelantan FC (5-1).
Penjaga gol berusia 22 tahun itu berikrar untuk memberi tumpuan penuh ketika berdepan dengan bekas kelabnya, Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
“Siapa pun lawan JDT, kita sebagai sebuah pasukan akan memberi tumpuan dan menentang mereka habis-habisan bagi memastikan misi mengutip tiga mata menjadi kenyataan.
“Persediaan menjelang pertemuan menentang Negeri Sembilan ini, rakan pasukan berada pada tahap terbaik dan akan memberikan lebih daripada 100 peratus sekiranya diturunkan pada aksi Liga Super ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Syihan tidak menganggap kegagalan memastikan gawang dibolosi ketika berdepan KL City sebelum ini menjejas prestasinya, sebaliknya membakar semangat untuk menjadi lebih baik.
“Sebagai benteng terakhir pasukan, setiap penjaga gol diberikan kepercayaan tinggi melaksanakan tugas dengan sempurna tidak membenarkan gawang dibolosi pasukan lawan.
“Walau bagaimanapun, apa-apa boleh berlaku dalam bola sepak dan kita tidak boleh cepat rasa ‘down’, sebaliknya cuba bangkit dan memperbaiki diri dan menamatkan permainan dengan baik,” katanya.
Menyingkap musim pertamanya bersama skuad bimbingan Esteban Solari itu, Ahmad Syihan memberitahu, banyak lagi perkara yang perlu ditambah baik untuk terus kekal menjadi penjaga gol utama JDT.
“Setiap hari berlegar dalam fikiran Syihan adalah untuk memperbaiki diri dan tidak boleh terlalu berpuas hati. JDT sememangnya mempunyai barisan pertahanan yang ampuh, namun itu tidak bermakna pasukan lawan tidak mampu melancarkan serangan ke pintu gol.
“Secara keseluruhan bagi musim pertama ini, Syihan amat bersyukur kerana TMJ (Tunku Mahkota Johor) memberikan kepercayaan dan fokus untuk terus melangkah jauh,” katanya. – UTUSAN ONLINE