KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman melahirkan hasrat mereka untuk memburu pingat emas pada Sukan Asia di Hangzhou, China, September ini, sekalipun sedar mereka perlu berdepan cabaran dari India dan Hong Kong.
Aifa berkata, pengalaman berdepan pasangan India, Harinder Singh-Dipika Pallikal yang menjuarai Kejohanan Asia telah mendorong dia dan Syafiq bekerja lebih keras untuk memahami corak permainan lawan.
“Kami sasarkan pingat emas, jadi, kita perlu ada perancangan untuk Sukan Asia. Kami sekarang berusaha perbaiki kekurangan kami dan dapatkan kombinasi terbaik,” katanya selepas final Kejohanan Skuasy Beregu Campuran Jemputan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) di Pusat Skuasy Nasional dekat sini hari ini.
Pada perlawanan akhir itu, Syafiq-Aifa tidak berdepan masalah mengetepikan cabaran rakan senegara, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar-Noor Ainaa Amani Ampandi 11-2, 11-5 dalam masa 27 minit.
Untuk perebutan tempat ketiga pula, gandingan Duncan Lee-Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif menewaskan pasangan Hong Kong, Tang Ming Hong-Tong Tze Wing 11-4, 11-5 dalam masa 19 minit.
Aifa memberitahu, selain pasangan India, dua beregu Hong Kong, Ming Hong-Tze Wing dan Wong Chi Hin-Lee Ka Yi juga perlu diawasi kerana mereka boleh mengganggu peluang Malaysia memburu emas.
Menurut Syafiq pula, menyertai dua kejohanan iaitu Kejohanan Beregu Campuran Asia di Hangzhou, baru-baru ini, dan semalam, Kejohanan Skuasy Beregu Campuran Jemputan SRAM banyak memberi indikasi jelas bagi mengejar sasaran tersebut.
“Bagi persiapan Sukan Asia, sejak pertandingan di China dan sekarang kejohanan jemputan, kita punya persediaan memang menekankan kepada kekuatan permainan dan mental kami.
“Paling penting kita hendak pergi Sukan Asia dengan penuh keyakinan sebab itu kita perlu menang semua perlawanan sebelum temasya dan bila sampai sana kita sudah bersedia dengan keyakinan tinggi,” ujarnya.
Jelasnya, peluang beraksi menentang Harinder-Dipika, membuka mata dia dan Aifa bahawa amat penting untuk mempelbagaikan rentak permainan serta tidak terburu-buru dengan bermain terlalu laju.