LONDON: Hanya tiga bulan kembali bermain tenis kompetitif selepas melahirkan anak pertamanya, Elina Svitolina melakar kejutan terbesar di Wimbledon dengan menewaskan pemain No. 1 dunia, Iga Swiatek untuk mara ke separuh akhir.
Turun sebagai bukan pilihan dan beraksi atas tiket wildcard (jemputan), bintang Ukraine itu menang 7-5, 6-7, 6-2 dalam aksi klasik di Centre Court hari ini.
Svitolina, 28, yang hanya kembali bermain tenis tiga bulan lalu selepas kelahiran anak perempuannya, Skai Monfils pada Oktober kini menghuni ranking ke-76 dunia.
Dia sebelum ini turut melakar kejutan ke atas juara Grand Slam, Venus Williams, Sofia Kenin dan Victoria Azarenka, sekali gus menyamai prestasi terbaiknya dalam Grand Slam dengan mara ke separuh akhir di Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat 2019.
A five-star performance 🌟@ElinaSvitolina defeats the world No.1 Iga Swiatek 7-5, 6-7(5), 6-2 to reach the semi-finals at #Wimbledon once again pic.twitter.com/l6nUu17KHj
— Wimbledon (@Wimbledon) July 11, 2023
“Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam kepala saya sekarang tetapi saya sangat gembira kerana mempunyai peluang untuk bermain di sini lagi dan beraksi dalam perlawanan hebat ini dengan suasana hebat. Ia benar-benar perasaan yang sukar dipercayai bagi saya.
“Ia tidak mudah untuk bermain menentang Iga hari ini. Jelas sekali, dia adalah No. 1, ia perlawanan yang sukar dan saya sangat gembira dapat memenanginya.
“Iga bukan sahaja pemain yang hebat, malah seorang yang hebat. Dia antara orang pertama yang benar-benar membantu rakyat Ukraine dan ia bantuan yang besar,” kata Svitolina.
Swiatek yang telah memakai reben kuning dan biru atau lencana pada topinya sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine bermula, kagum dengan ketepatan serta tenaga Svitolina di set ketiga dan penentuan.
Walaupun bintang tenis Poland itu kecewa tersingkir di suku akhir, dia tetap mempamer peningkatan dalam penampilan di Wimbledon, dari pusingan keempat pada 2021 dan kini di suku akhir.
Svitolina kini akan menentang pemain Republik Czech, Marketa Vondrousova, seorang lagi pemain bukan pilihan, pada separuh akhir esok.
Vondrousova seorang lagi pemain yang melakar kejutan dalam kejohanan ini selepas menundukkan pemain No. 4 dunia, Jessica Pegula semalam. – AGENSI