KOTA TINGGI: Bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik London 2012 dalam acara mendayung berpasukan, Matthew Brittain muncul juara saingan elit lelaki pada perlumbaan L’Etape Malaysia oleh Tour De France di Desaru Coast di sini, hari ini.
Lebih menarik, isteri Matthew, Alicia Brittain mengungguli saingan elit wanita, sekali gus menjadikan perlumbaan kali ini cukup manis buat pasangan dari Afrika Selatan itu.
Matthew, 36, melengkapkan kayuhan sejauh 140 kilometer (km) dengan catatan 3 jam 17 minit 40 saat (s), manakala isterinya Alicia, 35, merekodkan 3’22:14s.
Menurut pelumba kelab basikal Matador Racing dari Singapura itu mengakui, dia tidak menyangka dapat memenangi perlumbaan hari ini kerana terpaksa bersaing dengan 2,383 peserta lain dalam kategori elit lelaki.
Katanya, tuntutan stamina, kekuatan fizikal dan mental dalam acara berbasikal hampir menyamai sukan mendayung.
“Begitupun berbasikal lebih mencabar berbanding mendayung kerana terdedah dengan cuaca panas dan berisiko.
“Sukan mendayung pula tidak terlalu panas kerana berada diatas air dan memerlukan kekuatan hayunan tangan,” katanya.
Ketika ditanya punca dia beralih dalam sukan berbasikal Matthew berkata dia ingin menceburi sukan baharu.
“Saya mencabar diri sendiri untuk aktif dalam sukan berbasikal,” katanya yang menduduki tempat ketujuh dalam kejohanan yang sama tahun lalu.
Arfan Faisal dari Singapura menamatkan saingan di tangga kedua dengan 3’19:12s, diikuti Chris Dufton dari Australia (3’19:13s).
Sementara itu dalam saingan elit wanita yang juga berlangsung sejauh 140km, Alicia mengetepikan cabaran pencabar terdekat dari Singapura, Rita Loh dengan catatan masa 3’22.14s. Pelumba Malaysia, Noor Azian Alias di tempat ketiga dengan 3:57:30s.
Seramai 3,614 peserta menyertai edisi kedua L’Etape Malaysia oleh Tour De France yang dianjurkan di negara ini dengan Desaru menjadi lokasi perlumbaan itu.
Penyertaan dalam kalangan pelumba amatur terbesar termasuk dari luar negara itu melibatkan dua jarak kayuhan iaitu 140km dan 60km.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan bagi kedua-dua jarak berkenaan iaitu lelaki dan wanita individu, lelaki dan wanita berpasukan dan cabaran pecutan lelaki dan wanita. – UTUSAN ONLINE