JOGJAKARTA: Skuad badminton remaja memulakan kempen Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jogjakarta, Indonesia dengan keputusan memberangsangkan apabila membenam Hong Kong 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan C hari ini.
Wakil pertama negara yang turun ke gelanggang merupakan gandingan beregu campuran, Bryan Jeremy Goonting-Chan Wen Tse yang berhadapan dengan pasangan Deng Chi Fai-Anna Liu.
Perlawanan jelas memihak kepada pasangan Malaysia apabila mudah menyumbangkan mata pertama dengan keputusan 21-12, 21-13 dalam tempoh 23 minit
Seterusnya, perseorangan lelaki negara, Eogene Ewe terus meletakkan Malaysia semakin selesa apabila membenam cabaran lawan, Lam Ka To dengan keputusan 21-13, 21-18.
Siti Zulaikha Azmi menceriakan kem Malaysia apabila pemain berusia 17 tahun ini berjaya mengatasi lawan, Kiang Ka Wing yang memberikan tentangan sebelum kemenangan berpihak kepada Siti dengan keputusan 15-21, 21-17, 21-14 selepas bertarung selama 48 minit.
Biarpun Malaysia telah pun mengesahkan kemenangan, namun dua lagi wakil negara yang turun selepas itu membabitkan acara beregu lelaki dan wanita negara tidak membiarkan lawan untuk mengutip mata sagu hati.
Beregu lelaki negara, Aaron Tai dan Kang Khai Xing unggul menumpaskan Usman Awan-Deng Chi Fai dengan keputusan 21-9, 21-15, sementara beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting mudah menewaskan lawan, Anna Liu-Yanes Wong dengan keputusan 21-8, 21-7 untuk melengkapkan kemenangan 5-0 Malaysia ke atas Hong Kong.
Skuad negara akan meneruskan perjuangan mereka esok menentang pasukan India.