PETALING JAYA: Harapan skuad badminton negara untuk mara lebih jauh dalam acara berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2023 di Jogjakarta, Indonesia tidak kesampaian apabila disekat penyandang juara, Thailand dengan keputusan 0-3 di peringkat suku akhir hari ini.
Wakil pertama Malaysia yang turun ke gelanggang, Low Han Chen-Chong Jie Yu yang beraksi dalam acara beregu lelaki akur tunduk kepada pasangan Thailand, Tanakorn Meechai-Fungfa Korpthammakit dengan keputusan 20-22, 16-21.
Harapan negara menerusi perseorangan lelaki, Eogene Ewe untuk menyamakan kedudukan juga tidak kesampaian apabila tewas kepada Wongsup Wongsup-in 21-17, 17-21, 17-21 selepas bertarung selama 57 minit.
Perseorangan wanita negara, Ung Yi Xing cuba untuk menghidupkan peluang buat Malaysia namun Saraporn Sombutwatthannanukool terlalu ampuh sekaligus menunjukkan jalan keluar buat Malaysia dengan keputusan 15-21, 9-21.
Thailand akan berentap dengan Indonesia di peringkat separuh akhir esok, sementara skuad negara masih mempunyai peluang untuk menebus kekalahan ini menjelang acara individu yang akan bermula 12 Julai ini.