BUDAPEST: Pemain tenis China, Zhang Shuai menarik diri dan meninggalkan gelanggang dengan linangan air mata selepas lawannya Amarissa Toth terlibat dalam skandal menipu.
Insiden itu berlaku pada pusingan pertama Grand Prix Budapest dalam Jelajah WTA dengan beberapa pemain mengecam Toth atas kelakuannya.
Ketika kedudukan terikat 5-5 di set pertama yang sengit, pukulan Shuai dilihat jatuh di atas garisan tetapi pengadil memutuskan bola keluar.
Shuai merasa kecewa dengan keputusan itu dan meminta untuk bercakap dengan pegawai kejohanan.
Memandangkan Grand Prix Budapest dimainkan di gelanggang tanah liat, bermakna tanda di mana bola jatuh boleh dilihat dengan jelas.
Begitupun sebelum pengadil turun dari kerusi untuk memeriksa di mana pukulan itu mendarat, Toth berjalan ke arah tanda tersebut dan menggosoknya dengan kaki.
“Tunggu, tunggu, tunggu! Simpan tanda itu. Apa yang kamu buat? Kenapa kamu buat begitu?” kata Shuai dengan marah.
Penyokong tuan rumah berada di belakang pemain Hungary, Toth kemudian membalas: “Kerana anda membuat masalah, itulah sebabnya.”
Shuai diejek penonton ketika dia meminta untuk bercakap dengan penyelia kejohanan dan seorang peminat boleh didengari menjerit ‘membuang masa’ ketika Toth, 20, pula ketawa mendengar komen itu.
Shuai kelihatan tertekan ketika berhenti rehat sebelum pemain No.28 dunia itu memutuskan untuk menarik diri daripada perlawanan itu dengan menangis. – AGENSI