PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai menjadi sebahagian daripada taruhan kem Malaysia yang masih meneruskan perjuangan di Terbuka Korea Selatan 2023.
Persaingan yang telah memasuki pusingan kedua pada hari ini bakal menyaksikan Soon Huat dan Shevon akan membuat perhitungan dengan gandingan nombor 21 dunia, Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito dari Jepun.
Begitupun Shevon dan Soon Huat tidak memandang mudah pasangan Jepun itu biarpun atas kertas, gandingan ini memiliki kelebihan kerana berada di ranking kesembilan dunia selain turut diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan.
Ini kerana rekod dua pertembungan sebelum ini ternyata tidak memihak kepada Soon Huat dan Shevon dengan terbaru mereka tumbang kepada pasangan Jepun itu ketika Kejohanan Masters Thailand Februari lalu.
Terdahulu mereka melepasi pusingan awal selepas menidakkan cabaran rakan senegara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei semalam dengan keputusan 21-16, 21-16.
“Untuk prestasi kami pada hari ini, saya boleh katakan kami beraksi dengan baik dan berjaya menstabilkan kedudukan kami untuk menjadi lebih konsisten dan paling penting kami mengawal emosi dan pemikiran kami di dalam gelanggang,” jelas Shevon.
Atas dasar itu, mereka kini berharap dapat melepasi cabaran pusingan kedua sebelum meletakkan sebarang sasaran lebih tinggi di kejohanan ini.
“Kami rasa kami meletakkan sasaran kami hingga ke suku akhir, tetapi kami berharap kami mampu lebih jauh,” kata Soon Huat.
Selain Soon Huat dan Shevon, satu lagi beregu campuran yang turut berjaya mara ke pusingan kedua merupakan penyandang juara edisi lalu, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing yang berjaya menewaskan satu lagi pasangan Jepun semalam, Yuki Kaneko dan Misako Matsumoto dengan keputusan 21-15, 27-25 untuk berhadapan pilihan kedua kejohanan, Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand pada hari ini.
Dalam pada itu, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tersingkir di pusingan pertama Terbuka Korea apabila tewas kepada pemain Hong Kong, Ng Ka Long 15-21, 21-18, 17-21 pada aksi yang berlangsung di Stadium Jinnam, Yeosu.
Ini merupakan pertembungan pertama mereka selepas Zii Jia dilatih oleh Ng Tat Meng, sementara Ka Long pula dibimbing bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Wong Choong Hann.
Terbuka Korea juga adalah kejohanan pertama Zii Jia sejak dia mengumumkan mahu berehat sementara daripada badminton selepas tewas di pusingan pertama Terbuka Indonesia, bulan lalu.-UTUSAN