PETALING JAYA: Selangor FC memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini apabila berjaya menumpaskan Kuching City 2-1 sebentar tadi.
Dalam aksi tersebut, anak-anak buah Tan Cheng Hoe bermula perlahanan dengan setiap gerakan awal berjaya dipatahkan barisan pemain Kuching City yang dilihat mampu membaca permainan Selangor.
Selangor hampir berada di hadapan pada minit ke-11 menerusi Faisal Abdul Halim namun, rembatan leretnya dari dalam kotak penalti berjaya dihalang penjaga gol Kuching City, Shaiful Wazizi Mohamad.
Gol pertama Selangor hadir pada minit ke-26 menerusi Ayron Del Valle tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas bola hantaran silang Quentin Cheng terkena tangan Ramesh Lai Ban Huat.
Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama, bersambung babak kedua Cheng membuat pertukaran dan dengan menggantikan Ayron dengan Yohandry Orozco untuk menguatkan barisan hadapan.
Percaturan yang dibuat Cheng Hoe itu ternyata membuahkan hasil apabila Orozco berjaya meletakkan Selangor 2-0 di hadapan pada minit ke-55 selepas bijak melakukan rembatan untuk menewaskan Shaiful Wazizi buat kali kedua.
Tersentak dengan gol berkenaan, Kunching City yang dibimbing oleh Irfan Bakti memperkemaskan rentak permainan dan mereka berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-89 menerusi Amir Amri Salleh.
Keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus memastikan Selangor mengutip tiga mata penuh di MBPJ dan mereka selepas ini akan bertandang ke Stadium Darul Makmur untuk bertemu Sri Pahang FC pada 9 Julai ini.
Kemenangan ke-11 daripada 15 perlawanan itu menyaksikan Selangor mengumpul 34 mata untuk terus kekal di kedudukan kedua liga.
Sementara itu, Kuching City pula terus berada dalam kelompok bawahan apabila hanya mengumpul enam mata dan menghuni tangga ke-12.-UTUSAN ONLINE