Sekolah boleh guna Stadium Bukit Jalil percuma untuk hari sukan

Sekolah boleh guna Stadium Bukit Jalil percuma untuk hari sukan

HANNAH Yeoh (dua, kanan) bersama Hans Isaac (kiri) dan Mohd. Faidz Sanusi (kanan) pada majlis sambutan ulang tahun ke-25 KLSC di Bukit Jalil malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang sinonim sebagai ‘rumah’ Harimau Malaya dan venue penganjuran konsert, bakal menjadi ‘padang baharu’ buat pelajar sekolah bermula Oktober ini.

Bersempena ulang tahun ke-25 Kuala Lumpur Sports City (KLSC), Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi tawaran istimewa kepada semua sekolah menggunakan SNBJ secara percuma bagi tempoh dua tahun khusus untuk penganjuran hari sukan.

Beliau berkata, konsep mempopularkan sukan dalam kalangan orang ramai melalui penggunaan kemudahan PSM telah dipersetujui pada 17 Julai lalu, dan antara keputusannya ialah membenarkan hari sukan sekolah diadakan di stadium negara secara percuma, tertakluk kepada ketersediaan.

“Ini selaras dengan pengumuman kami sebelum ini bahawa kami mahu fokus kepada olahraga sebagai sukan pembangunan untuk akar umbi di peringkat sekolah.

“Saya benar-benar mahu pelajar sekolah merasai pengalaman berlari 100 meter di SNBJ, dan mana tahu mereka akan mendapat inspirasi untuk menjadi atlet,” katanya pada sidang media pada majlis makan malam ulang tahun ke-25 KLSC di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd. Faidz Sanusi.

Selain SNBJ, Hannah berkata, PSM juga menawarkan sekolah menggunakan Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara secara percuma.

Sehubungan itu, beliau mempelawa sekolah untuk menempah venue melalui PSM yang boleh dibuat mulai bulan depan.

“Sebelum ini, sekolah terpaksa membayar (kos sewa) pada kadar diskaun untuk menggunakan stadium,” katanya.

Beliau juga menyeru pengeluar makanan berkhasiat untuk mengiklankan produk mereka ketika hari sukan diadakan di tiga venue tersebut.

“Syarikat yang memasarkan jenama makanan kanak-kanak boleh berbincang dengan PSM mengenai kadar pengiklanan, sekurang-kurangnya ini akan menampung kos (sewa),” katanya.

Sementara itu, Hannah berharap pengurusan KLSC akan terus diperkukuh dari segi tadbir urus korporat dalam menjadikannya sebagai venue pilihan penganjur acara dalam dan luar negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya