PETALING JAYA: Satu gol hasil jaringan Ifedayo Olusegun ketika Kedah Darul Aman (KDA) FC mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Kuching City semalam sudah cukup membuatkan pengendalinya, Nafuzi Zain tersenyum.
Nafuzi, mengakui dia tetap berpuas hati biarpun pasukannya hanya meraih kemenangan tipis
selepas melihat kesukaran yang terpaksa dihadapi anak buahnya termasuk dari segi permukaan padang dan corak bertahan pasukan lawan.
“Walaupun 1-0 saya bersyukur, sudah memadai kerana perlawanan yang begitu sukar kerana situasi padang yang agak keras dan dari segi taktikal bertahan Kuching City.
“Bukan perlawanan yang mudah untuk kami menjaringkan gol dan mendapat jaringan menerusi sepakan sudut. Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan.
“Selepas ini Piala Malaysia berdepan Perak di gelanggang lawan dan kami harap momentum sama. Kami tahu Piala Malaysia sukar dan kami perlu bersedia berdepan mana-mana pasukan,” katanya.
Tiga mata yang diraih di Stadium Negeri, Kuching itu menyaksikan KDA mengumpul 37 mata selepas 18 perlawanan dan menghuni tangga ketiga Liga Super.
Malang bagi Kuching City apabila mereka terus kekal di kedudukan kedua tercorot apabila hanya mengutip tujuh mata keseluruhan.
Sementara itu, penolong jurulatih Kuching City, Firdaus Morshidi menganggap kelekaan menjadi punca pasukannya gagal meraih sebarang mata di gelanggang sendiri.
“Bagi aksi ini sejujurnya kami kecewa, kekalahan tipis 1-0 di tempat sendiri. Pada separuh masa pertama pemain sedikit leka yang mana Kedah menjaringkan gol menerusi sepakan sudut.
“Perancangan seterusnya kami akan lihat dulu situasi pemain mana yang boleh bermain dan tidak boleh bermain. Jadi kami akan lihat pada sesi latihan akan datang,” katanya.-UTUSAN ONLINE