LONDON: Juara bertahan, Elena Rybakina meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga tenis Wimbledon selepas insiden malang menimpa lawannya, Alize Cornet yang meninggalkan gelanggang dalam keadaan menangis semalam.
Bintang Perancis, Cornet, 33, menamatkan permainan dengan lutut kanan berbalut selepas mengalami kecederaan akibat tergelincir di atas permukaan rumput licin.
Dia tetap menggagahkan diri untuk bertarung, namun terpaksa akur dengan kekalahan 2-6, 6-7 (2/7) kepada pemain No. 3 dunia dari Kazakhstan, Rybakina.
Cornet kalah mudah di set pembukaan, namun memberi tentangan sengit di set kedua dan mengikat kedudukan 5-5.
Malangnya, dia tergelincir dan menjerit dengan lutut sakit sebelum terbaring. Situasi itu membimbangkan penonton, malah Rybakina turut memeriksa keadaan lawannya.
Selepas mendapatkan rawatan, Cornet memutuskan untuk meneruskan permainan tetapi dengan pergerakan yang amat terhad dan menahan kesakitan, tiada apa yang mampu dilakukan.
“Saya memulakan permainan dengan baik, saya mempunyai tenaga yang bagus tetapi di set kedua keadaan menjadi sangat sukar.
“Ia perlawanan panjang, begitu juga ketika Alize terjatuh. Situasi tidak mudah, namun saya gembira memenangi set kedua,” kata Rybakina yang akan menentang Katie Boulter dari Britain pada pusingan ketiga esok.
Bagi pemain No. 74 dunia, Cornet dia kalah kepada pemain yang lebih baik.
“Di set pertama saya terkejut dengan rentak pukulannya.
“Set kedua lebih baik, sayang sekali saya cedera,” katanya. – AGENSI