JOHOR BAHRU: Penjaga gol KL City FC, Kevin Ray Mendoza mengakui terkedu melihat pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Shio Hong Wan meledak rembatan dari jarak jauh menyebabkannya sedikit terlambat untuk menutup ruang pintu gol sehingga dibolosi.
Penjaga gol kebangsaan Filipina itu berkata, skuad The City Boys sudah beraksi dengan baik mengekang kemaraan Harimau Selatan sehingga minit ke-65, namun situasi berubah selepas gol itu hadir.
“Berdepan dengan JDT, sudah pasti akan menjadi perlawanan yang sukar bagi kami. Namun, kita telah melakukan tugas dengan baik biarpun berdepan tekanan hebat daripada pasukan lawan.
“Walaupun kebanyakan masa banyak bertahan, kami juga turut berpeluang mengancam kubu JDT dan hampir mencipta jaringan mengejutkan mereka.
“Bagi gol itu, saya tidak menyangka dia (Hong Wan) akan merembat bola dari jarak jauh kerana dia bukanlah pemain seperti itu. Ia satu jaringan yang baik dan sukar untuk diselamatkan,” katanya.
Mendoza turut memuji aksi bertenaga dipamerkan rakan sepasukan, khususnya benteng pertahanan yang berkali-kali menafikan percubaan trio, Bergson Da Silva, Fernando Forestieri dan Arif Aiman Hanapi.
“Walaupun tewas tapi saya tetap berpuas hati kerana kami telah melakukan sedaya upaya. Saya menganggap bukan rezeki kami apabila dibolosi gol yang tidak disangka-sangka itu,” katanya.-UTUSAN ONLINE