JOHOR BAHRU: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak memandang mudah kunjungan Kuala Lumpur City (KL City) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Tegasnya, kemenangan 3-0 pada pertemuan pertama, 1 Mac lalu juga tidak seharusnya menjadi ukuran kerana pasukan pelawat kini berada pada prestasi terbaik mereka.
Katanya, skuad The City Boys yang akan berdepan Harimau Selatan dalam perlawanan akhir Piala FA pada 22 Julai nanti pasti sudah merencanakan sesuatu untuk melakar kejutan.
“Saya melihat KL City FC sebagai pasukan yang berbeza ketika ini banding pertemuan sebelum ini. Mereka tampak lebih mantap dan lebih bersemangat.
“Pemain KL City juga dilihat sentiasa beraksi dengan penuh berkeyakinan, terutamanya apabila menentang pasukan-pasukan handalan seperti menewaskan Terengganu (FC), di Terengganu dan kita juga berdepan kesukaran beraksi di situ.
“Oleh itu, kita perlu bersedia secukupnya kerana jelas pasukan ini memiliki pemain serta jurulatih yang berkualiti,” katanya.
Pertembungan pada malam ini ibarat bayangan perlawanan akhir Piala FA 2023 selepas kedua-dua pasukan berentap pada aksi final yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 22 Julai ini.
Mengulas lanjut pertemuan yang disifatkan sebagai pra final Piala FA itu, Solari memberitahu, sebarang keputusan yang dicatatkan pada malam ini bukanlah cerminan sebenar perlawanan akhir nanti.
“Ramai yang beranggapan perlawanan ini sebagai aksi ‘pra final’ Piala FA 2023 nanti. Walau apa pun keputusannya nanti, kita tetap melakukan persediaan rapi menghadapinya,” katanya. – UTUSAN ONLINE