PETALING JAYA: Leong Jun Hao tidak memandang rendah kemampuan Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar apabila kedua-duanya berentap untuk merebut kejuaraan perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Kebangsaan hari ini.
Jun Hao menepati statusnya sebagai pilihan pertama apabila melangkah ke final dengan menewaskan juara dua kali, Lim Chin Wing 21-15, 21-17 pada separuh akhir semalam.
Shaqeem pula melakar kejutan menewaskan rakan sepasukan, Chua Kim Sheng 21-14, 22-20.
Biarpun Jun Hao belum pernah menentang Shaqeem dalam mana-mana kejohanan antarabangsa, namun dia memiliki kelebihan ranking dengan menghuni tangga ke-54 dunia berbanding lawannya jauh di kedudukan 211.
“Dia pasti akan melakukan yang terbaiknya di final dan saya perlu bersiap sedia kerana perlawanan belum habis.
“Saya kena bersiap sedia dengan segala kemungkinan, mungkin jangkaan saya ia akan menjadi sukar kerana kami berlatih bersama dalam kem kebangsaan, jadi saya tidak rasa perlawanan esok (hari ini) akan menjadi mudah,” jata Jun Hao.
Sekiranya mampu bergelar juara kali ini, Jun Hao akan menebus kekecewaan tiga tahun lalu apabila tumpas kepada Soong Joo Ven dalam perlawanan akhir.
Sementara itu dalam perseorangan wanita, K. Letshanaa menumpaskan Siti Nurshuhaini Azman 9-21, 21-10, 21-15 untuk membuat perhitungan akhir dengan Wong Li Ching yang menyingkirkan Shin Lim dengan keputusan 21-13, 21-18.
“Saya rasa teruja untuk menentangnya (Li Ching), sebab sudah lama kami tidak berentap bersama-sama. Kali terakhir mungkin ketika kedua-dua kami berumur sekitar 15, 16 tahun dan kini kami bertemu semula di pentas final, jadi ia pasti akan menjadi perlawanan yang menarik,” jelas Letshanaa.