PETALING JAYA: Jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli menjadi atlet para pertama Malaysia berjaya menempah slot ke Sukan Paralimpik 2024 secara merit, selepas memenangi pingat perak acara F20 (kecatatan intelektual) dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris semalam.
Ini pingat kelima pernah diraih Ziyad dalam kejohanan itu dan kali kedua memenangi pingat perak selepas berjaya mengutip dua emas, satu perak dan satu gangsa dalam semua penyertaannya sebelum ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Charlety, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu melakukan lontaran sejauh 17.21 meter (m), ketinggalan lebih 0.30m di belakang juara, Maksym Koval dari Ukraine.
Koval memenangi emas dengan lontaran 17.57m, sementara gangsa diraih rakan senegaranya, Oleksandr Yarovyi dengan lontaran 16.99m.
Ziyad berkata dia tidak mempunyai apa-apa rahsia kejayaan dalam membolot pingat kelimanya itu, namun sangat berterima kasih kepada jurulatih kerana tidak memberinya tekanan sebelum bertanding.
Menurut penetapan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, empat atlet di kedudukan teratas pada Kejohanan Dunia Olahraga Para 2023 layak ke Sukan Paralimpik Paris tahun depan. – UTUSAN ONLINE