PETALING JAYA: Pelari jarak jauh negara, K. Prabudass puas apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara separuh maraton di Gold Coast Maraton, Australia semalam dengan catatan satu jam 06.53 saat (s).
Rekod sebelum ini adalah satu jam 07 minit yang juga milik Prabudass dilakar ketika perlumbaan Hokkaido-Sapporo Maraton di Jepun pada Mei 2021.
Ia kejayaan yang cukup bermakna memandangkan Prabudass pulang dengan tangan kosong ketika menyertai acara 1500 meter (m) di Sukan SEA Kemboja 2023 Mei lalu.
“Saya amat gembira kerana dapat memecahkan rekod kebangsaan sekali lagi. Sebenarnya persiapan untuk perlumbaan kali ini tidak begitu rapi kerana saya baru sahaja mula berlatih selepas tamat Sukan SEA Mei lalu.
“Yang pasti saya tahu saya boleh berlari lebih baik daripada ini. Sebelum Sukan SEA, saya telah mengalami kecederaan hamstring selama tiga bulan.
“Disebabkan itu saya tidak mempunyai banyak masa untuk membuat persiapan menghadapi Sukan SEA dan pastinya saya kecewa apabila gagal membawa pulang sebarang pingat ketika berada di sana.
“Tetapi saya tidak berputus asa dan terus berusaha keras dan saya bersyukur dapat memecahkan rekod kebangsaan buat kali ketiga, dan dua kali saya berjaya melakukannya di Gold Coast,” jelas Prabudass kepada Utusan Malaysia.