PETALING JAYA: Tunjukkan aksi paling konsisten, serap tekanan hebat penyokong lawan di Bangkok dan patuhi taktikal permainan dengan sebaiknya.
Jika semua itu mampu dilakukan pemain negara hari ini, tidak mustahil mereka boleh menamatkan penantian 35 tahun Malaysia dan mengalahkan musuh ketat, Thailand dalam perlawanan akhir acara berpasukan Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thai.
Ketua Jurulatih Malaysia, Ahmad Jais Baharun berkata, biarpun sedar cabaran bakal dihadapi amat getir, namun mereka berjanji akan memberi tentangan habis-habisan untuk memburu kemenangan pertama sejak kali terakhir bergelar juara berpasukan pada 1988.
“Kita perlu cuba memberikan saingan terbesar kepada Thailand, cuma untuk berdepan mereka kita kena lebih konsisten daripada segi serangan tekong dan juga pertahanan yang mantap bagi mengekang asakan bertali arus lawan.
“Apa yang paling penting pasukan kita perlu menyerap tekanan lebih cepat dan pertahanan yang lebih konsisten.
“Ini bermakna serangan Thailand dari segi servis tekong perlu kita tangkis daripada awal,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Semalam Malaysia menundukkan Myanmar 2-0 dalam aksi separuh akhir, manakala Thailand mara dengan menyingkirkan Korea Selatan.
Menurut Ahmad Jais, beliau dan para pemain juga akan mengadakan sesi analisis permainan Thailand pada malam ini (malam tadi), menerusi rakaman video yang pernah dibuat Institut Sukan Negara (ISN) sebelum ni.
Jelasnya, menerusi tontonan tersebut, ia sedikit sebanyak akan bagi satu panduan untuk pasukan kejurulatihan menentukan pemain yang akan diturunkan pada final, hari ini.
“Untuk final, kita masih dalam proses pemilihan akhir pemain mana yang akan kita turunkan, cuma dari segi taktikal menentang pasukan Thailand kita sedar bukan satu tugas mudah.
“Lebih-lebih lagi mereka mempunyai barisan tekong yang konsisten dan juga sokongan padu peminat,” ujarnya.
Beliau juga mahu anak-anak buahnya sentiasa ingat bahawa Thailand setiap kali mereka berjaya menjarakkan mata, asakan bertali arus bakal dihadapi pasukan negara.
“Pemain kena ingat daripada bola pertama lagi mereka perlu angkat dengan kemas dan cuba matikan melalui rejaman di samping kita perlu menyerang dengan variasi servis serta hadangan,” tambahnya.