PETALING JAYA: Kejohanan golf Piala Mazda yang dianjurkan Bermaz Motor Trading Sdn. Bhd. akan dijadikan acara tahunan selepas acara berkenaan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta.
Pengarah Eksekutif Bermaz Motor Trading Sdn. Bhd, Tan Sri Yeoh Choon San berkata, pihaknya akan menganjurkan kejohanan itu setiap tahun dengan penambahbaikan bagi menjadikannya lebih besar dan menarik.
Bagi edisi tahun ini yang melabuhkan tirainya semalam, juara bagi Kategori Ahli menjadi milik Hamirrul Hamzah (Hcp 10) yang mencatatkan 66 nett, manakala Nahairizaki Mohd. Zin (Hcp 17) muncul juara Kategori Jemputan selepas meraih 63 nett.
Seramai 242 peserta mengambil bahagian pada acara kali ini dengan menwarkan hadiah termasuk jam tangan premium, barangan eksklusif Mazda, baucar rebat bernilai sehingga RM10,000, baucar yuran ‘green’ percuma dan cabutan bertuah.
“Kami menjemput semua peminat golf, sama ada ahli Glenmarie Golf & Country Club atau tetamu yang dihormati, untuk merebut peluang luar biasa ini untuk mengambil bahagian dalam Piala Mazda seterusnya pada masa akan datang.
“Acara ini menyediakan platform untuk menjalin persahabatan baharu, mempamerkan bakat, serta memupuk semangat persaingan dalam kalangan peserta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.