KUALA NERUS: Semua serba tidak menjadi, malah Terengganu FC (TFC) mempamer aksi terburuk musim ini dan bernasib baik masih mampu meraih satu mata ketika diikat 1-1 oleh Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super kelmarin.
Pengendali Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner, ‘lambat panas’ serta hilang rentak di awal permainan membayangi aksi pasukannya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abdin.
Katanya, permainan hanya berubah selepas rehat dengan kemasukan pemain gantian, Nik Sharif Haseefy Lazim dan Engku Nur Shakir Engku Yacob.
“Kami gagal menguasai perlawanan dan sering hilang penguasaan bola, malah pemain nampak tidak bermaya. Ini 45 minit pertama terburuk sejak saya datang ke sini.
“Pada babak kedua, kami beraksi lebih baik sehingga berjaya memecahkan kebuntuan jaringan dan memiliki deretan peluang, namun dikecewakan gol penyamaan lawan di hujung aksi.
“Keputusan mungkin berpihak kepada kami jika pemain dapat menunjukkan sentuhan penyudah lebih berkesan,” kata jurulatih kelahiran Croatia itu.
Dalam perlawanan itu, Ivan Mamut meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-67 selepas menanduk umpanan Sony Norde.
Pemain kelahiran Croatia tersebut bagaimanapun gagal menewaskan penjaga gol lawan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman pada minit ke-78 dalam situasi satu lawan satu.
Seminit sebelum tamat permainan, Negeri Sembilan menghukum tuan rumah dengan meledak gol penyamaan menerusi Herold Goulon.
Pengadil membenarkan jaringan tersebut dan mengesahkan bola telah melepasi garisan gol walaupun dibantah pemain Terengganu.
“Peluang yang dimiliki sudah cukup untuk membawa TFC kembali ke landasan kemenangan malangnya terpaksa akur hanya meraih seri dalam tiga perlawanan berturut-turut.
“Biarpun berakhir dengan 1-1, keputusan ini bagaikan kekalahan kepada TFC yang dibolosi pada minit-minit akhir. Kami sepatutnya lebih fokus sepanjang 90 minit,” luah Steinbruckner.