FUKUOKA, Jepun: Perenang remaja Australia, Mollie O’Callaghan kelu seketika selepas berjaya memecahkan rekod dunia 200 meter (m) gaya bebas wanita untuk menyambar pingat emas dalam Kejohanan Dunia di sini, hari ini.
O’Callaghan, 19, menewaskan rakan senegara yang juga juara Olimpik, Ariarne Titmus dan Summer McIntosh dari Kanada dengan kepantasan 1 minit, 52.85 saat di Fukuoka, memecah rekod dunia berusia 14 tahun.
“Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika ini. Ada air mata, kebahagian…Ia bercampur-baur.
“Saya amat berbangga dengan diri sendiri atas kejayaan ini dan ia detik yang tidak dijangka,” kata O’Callaghan.
O’Callaghan memecah rekod dunia milik perenang Itali, Federica Pellegrini, 1:52.98s yang dilakukan pada Kejohanan Dunia 2009.
Kata O’Callaghan dia ‘amat terkejut’ apabila melihat nama dan masanya di papan skor.
“Sekarang, saya hanya mahu menikmati detik ini dan cuba yang terbaik dalam perlumbaan seterusnya,” ujarnya.
Juara bertahan, Yang Junxuan dari China tidak mempertahankan gelarannya di Fukuoka.
Kemenangan Yang di Budapest tahun lepas memberikan China satu-satunya emas renang individu dalam kejohanan itu. – AGENSI