PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini sedang memperhalusi insentif pengecualian cukai buat syarikat swasta yang mengambil bekas atlet kebangsaan sebagai pekerja selepas mereka bersara.
Ini adalah antara sebahagian daripada pembentangan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada Mac lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan pihaknya kini dalam fasa akhir perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) untuk memutuskan insentif cukai yang menarik kepada pihak swasta.
Inisiatif ini bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan, namun dalam masa yang sama membantu bekas atlet untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas sukan dengan memberikan peluang membangunkan kemahiran dan pengalaman dalam bidang pekerjaan yang baru.
“Ketika ini KBS sedang memperhalusi inisiatif oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk memberikan insentif cukai kepada syarikat swasta mereka yang mengaji atlet kita.
“KBS dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memutuskan agar insentif itu betul-betul menarik bagi pihak swasta. Jika tidak, pengumuman yang akan dibuat kerajaan selepas itu tidak mendatangkan apa-apa hasil.
“Apa yang boleh saya katakan, KBS dalam perancangan terakhir berkenaan isu tersebut dengan Kementerian Kewangan,” jelas Hannah yang ditemui pemberita ketika Karnival Allianz Movefoward di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.
Dalam masa yang sama, KBS juga sedang berusaha untuk mewujudkan ekosisten sukan Malaysia khusus untuk golongan atlet dan jurulatih wanita bagi membolehkan mereka mempunyai masa yang lebih cerah selepas bersara.
“Kalau lihat ekosistem sukan di malaysia kurang beri penekanan untuk bantu wanita lebih cemerlang selepas sukan (bersara).
“Jadi peluang pekerjaan sebagai jurulatih walaupun ada, kalau sokongan infrastruktur seperti penjagaan anak tidak wujud kita tak dapat lahirkan jurulatih wanita.
“Jadi saya akan adakan town hall kerana dalam lawatan kita ke Jepun nak perkasakan wanita dalam sukan. Dalam town hall kita nak dengar sendiri dari golongan wanita terlibat cabaran dan halangan untuk mereka berkecimpung dalam karier sukan Malaysia,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE