PETALING JAYA: Keputusan Malaysia dalam Kejohanan Karate Asia di Melaka bulan ini pada 21 hingga 23 Julai ini bakal menentukan sasaran realistik yang harus diletakkan skuad negara pada Sukan Asia di Hangzhou, September ini.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, Malaysia menetapkan sekurang-kurangnya satu pingat emas pada edisi ke-19 Kejohanan Asia yang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
“Kita ada 26 atlet dan yang kita siap sedia atlet layak ke Sukan Asia adalah tujuh orang. Empat lelaki tiga wanita dan saya rasa kita tak mempunyai masalah untuk meraih pingat, namun saya mahukan emas di Sukan Asia.
“Saya tidak mahu menyatakan siapa yang disasarkan akan membawa pingat kejohanan di Melaka ini, tapi siapa yang berhasil mengharunginya dengan membawa pulang pingat emas, akan menjadi sasaran sebenar di Sukan Asia nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini hari ini.
Bagaimanapun, jaguh karate negara, R. Shamendran terlepas Kejohanan Asia kali ini akibat kecederaan yang dialami semasa sesi latihan berpusat di Mesir, bulan lalu.
Kata Azmi, meskipun Institut Sukan Negara (ISN) menyatakan atlet berusia 30 tahun itu sudah boleh kembali beraksi, namun beliau mahu ‘menyimpan’ Shamendran untuk benar-benar mempersiapkan diri ke Sukan Asia, September nanti.
“Kecederaannya tidak begitu serius, tetapi saya perlukan dia di Sukan Asia. Kami akan gantikan dia dengan Syafiq. Kalau Syafiq berjaya dapatkan pingat emas, ini menjadi cabaran kepada Sharmendran kerana kami akan pilih yang terbaik untuk ke Sukan Asia,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kejohanan ini akan berlangsung serentak dengan Kejohanan Para Karate Asia edisi ke-2. – UTUSAN ONLINE